Monday, February 1, 2010

Masalah Pendidikan Di Malaysia

Kita bergaduh dalam semua aspek.Semua yang baik ditolak mentah-mentah kerana datang dari sekumpulan yang tidak bersefahaman dengan kita.Kadang-kadang saya amat kasihan melihat umat Islam.Sampai bilakah kita harus begini?Bilakah mereka boleh duduk semeja untuk mencapai persetujuan bersama dalam perkara bersifat fundamental?Memang saya tidak nafikan kita boleh bersetuju untuk tidak setuju, tetapi takkanlah dalam semua perkara.Sekurang-kurangnya kita boleh bersetuju dalam perkara-perkara asas.Sayangnya, dalam perkara asas pun bergaduh juga.

Sebagai umat Islam, kita berasa amat malang kerana mereka yang tidak ada kena mengena dengan kalimah Allah pun tidak menyokong kita atau setidak-tidaknya bersifat neutral.Saya hanya mendengar kenyataan Presiden MCA sahaja yang bersikap neutral, mahukan kita berhenti menuding jari kepada UMNO dalam isu ini.Namun, kenyataan beliau dikecam hebat oleh kumpulan ultra-kiasu.Beliau dikatakan cuba menagih simpati UMNO dan menutup masalah dalaman MCA.

Kumpulan ultra-kiasu juga menentang habis-habisan UMNO dan umat Islam yang mahu mempertahankan kalimah Allah.Jika mereka ikhlas, sudah tentu kalangan mereka yang bukan Kristian, yakni beragama Buddha-Taoism-Confucius akan bertindak neutral, sebab mereka tidak menyembah Allah. Ini tidak, mereka secara terang menyokong penggunaan kalimah Allah di kalangan orang Kristian, walhal isu ini tidak ada kaitan langsung dengan kepercayaan mereka.Inilah nasib UMNO yang selalu sendirian dalam mempertahankan Islam di dalam dan di luar Barisan Nasional.Tertanya-tanya saya bilakah masanya orang bukan Islam akan menyokong Islam.Adakah benar parti ultra-kiasu ini menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS?Apakah umat Islam tidak sedar bahawa mereka kadang kala sebenarnya diperalatkan?

Saya dapat simpulkan di sini, maknanya apa yang umat Islam lakukan tetap akan dianggap salah disebabkan oleh fahaman politik yang berbeza.Saya amat takut dengan gejala yang berlaku.Orang lain bertepuk tangan dan bersorak gembira melihat perpecahan dan kelemahan kita dan mungkin akan menunggu masa untuk mengambil kesempatan.

Cuba kita ambil ikhtibar bagaimana bersatunya orang lain.Jangan bercakap soal perkara agama yang fundamental, sudah semestinya mereka bersatu.Lihat sahaja contoh terbaru berkaitan dengan pendidikan menengah mereka.Ketika pihak kerajaan sibuk meningkatkan mutu pendidikan negara melalui penambahbaikan sekolah rendah dan menengah kebangsaan, persatuan-persatuan Cina yang diketuai oleh Dong Jiao Zong pula sibuk memperkatakan akan keperluan kepada bantuan dan penambahan bilangan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SPMC). Sekolah vernakular ini memerlukan wang sebanyak RM300 juta setahun untuk menampung kos operasinya.Kini sebuah lagi sekolah dibuka di Kulai, Johor menjadi 61 buah kesemuanya dengan lebih 60,000 murid.Alasan mereka cukup simplistik,permintaan ke atas sekolah ini semakin tinggi dan kos operasi semakin meningkat. Bantuan kerajaan amat diperlukan bagi meringankan beban komuniti Cina dan pihak-pihak yang bertanggungjawab.Kesan dan akibat kemunculan sekoah ini tidak pernah dikaji, terutama dari segi prestasi Bahasa Melayu dan pergaulan meraka dengan orang Melayu dalam sebuah negara yang berakarkan Melayu.

Saya tidak pernah terkejut dengan peningkatan permintaan ke atas SPMC ini.Hatta, jika dibina 100 buah lagi pun, ia tidak akan pernah cukup.Selagi ada sekolah jenis kebangsaan di dalam sistem pendidikan negara, selagi itulah permintaan ke atas SPMC akan bertambah.Saya amat yakin, usahawan-usahawan, alumni-alumni, persatuan-persatuan dan badan-badan perniagaan Cina akan terus memberi sokongan dan bantuan kewangan yang tidak berbelah bahagi.Begitulah bersatu-padunya mereka.

Ditakdirkan pengecualian cukai diberikan terhadap mereka yang membantu SPMC ini, saya yakin kebanyakan cukai pendapatan akan dicurahkan kepada sekolah-sekolah ini.Itulah sikap mereka yang selama ini saya puji, bersatu dalam senyap tanpa mengira latar belakang mahupun ideologi politik.Pada mereka, pendidikan nenek moyang perlu diutamakan berbanding yang lain-lain termasuk pembinaan negara bangsa dan semangat patriotisme.Ini belum termasuk dengan bantuan mereka terhadap Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti Universiti Tuanku Abdul Rahman, Universiti Terbuka Wawasan dan sebagainya.

Pada saya, selagi sekolah vernakular wujud dalam sistem, selagi itulah isu SPMC akan berkumandang.Saya teramat yakin jika sekiranya SPMC dibiayai oleh kerajaan atau dibina dengan lebih banyak lagi suatu hari nanti, lihatlah tidak ada seorangpun pelajar Cina akan belajar di sekolah menengah kebangsaan (SMK).Bayangkanlah keadaan negara kita pada ketika itu.Adakah perpaduannya akan semakin kuat ataupun rapuh?

Saban minggu ada sahaja isu-isu pendidikan Cina yang dibangkitkan oleh Dong Jiao Zong dan sekutunya dalam akhbar-akhbar perkauman dan sewaktu dengannya.Kelihatan seolah olah isu pendidikan negara kita tidak pernah selesai.Saya tidak nampak mereka menghadapi masalah kewangan seperti yang diwar-warkan.Ia sengaja ditimbulkan bagi menarik simpati dan strategi pilihanraya akan datang.Sepatutnya kita berpakat-pakat memberi input bagaimanakah sekolah kebangsaan yang sedia ada dapat dipertingkatkan kualitinya.Ini tidak, mereka asyik menyanyi tak sudah-sudah dan memberikan tekanan kepada kerajaan.Inilah strategi ultra kiasu yang mesti kita lihat secara serius dan ditangani secara berhati-hati.

Pada hemat saya, kita tidak perlu bising-bising lagi membangkitkan masalah itu dan ini, kekurangan peruntukan sana dan sini.Formulanya mudah sahaja, masukkan mereka semua ke dalam sekolah menengah kerajaan.Mereka telah ada asas yang baik dalam bahasa Mandarin ketika berada di sekolah vernakular .Bila mengalami kesempitan , maka kerajaan yang dipersalahkan kerana tidak membantu sekolah persendirian.Yang buruk semuanya kerajaan ,yang baik semuanya mereka.Bayangkan selepas ini, selesai sahaja menamatkan pelajaran di SPMC, terus mereka melanjutkan pelajaran di IPTS perkauman.Bilakah sahaja mereka ini mahu bergaul dengan pelajar Melayu?

Saya amat yakin, keadaan ini wujud disebabkan oleh sikap kita yang terlalu perkauman dan memandang rendah kepada keupayaan sekolah kebangsaan.Kalau tidak percaya, buatlah kajian untuk melihat pandangan mereka terhadap sekolah kebangsaan berbanding sekolah vernakular.Majoriti akan mengatakan sekolah vernakular lebih baik.Guru-guru mereka lebih berdedikasi berbanding guru-guru Sekolah Kebangsaan.Pendek kata, semua yang baik adalah sekolah perkauman, manakala yang buruk itu semuanya Sekolah Kebangsaan.

Kadangkala sedih juga mendengar pendapat guru besar di sebuah sekolah kebangsaan di Johor baru-baru ini, apabila ditanya mengenai resipi kejayaan sekolah hingga terpilih menjadi kumpulan pertama 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).Jawapannya begitu simplistik,, kerana amalan baca Yasin dan salam cium tangan guru.Secara prinsip, saya tidak menafikan kedua-dua faktor itu menyumbang.Tetapi mesti ada faktor lain yang lebih solid yang boleh kita tonjolkan berasaskan kepada kajian dan penyelidikan dalam memberikan jawapan yang lebih bernas.Janganlah diberi jawapan simplistik sedemikian.Bukan apa, dibimbangi ultra kiasu akan mengambil kesempatan dengan memanipulasikan hujah sebegini.

Lagipun, saya bimbang selepas ini para pelajar akan bertindak membaca Yasin saban hari dan bersalam mencium tangan guru tanpa perlu berusaha lagi.Hujah simplistik harus berhati-hati ketika mana perlu digunakan.Islam bukanlah sebegitu mudah sebagaimana yang disangka.Sama juga kepercayaan bahawa minum air zamzam boleh emembawa berkat dan menerangkan hati,Jika begitu mudahnya Islam, tidak perlu kita bersusah payah lagi.Kumpulkan pelajar-pelajar yang gagal peperiksaan,kemudian pakat-pakat minum air zamzam,maka cerdiklah atau baiklah mereka selepas itu.Inilah bentuk pemikiran yang perlu diubah dan berubah.Perlu dibezakan antara hujah utama dan hujah tambahan, tanpa menafikan faktor Islam sebagai asas kecemerlangan. Jangan salah faham dengan konsep tawakkal.

Pada saya, guru besar tersebut perlu berhujah secara lebih akademik dengan mengambil kira faktor dedikasi guru-guru Melayu Islam (juga bukan Islam) di sekolah kebangsaan tersebut dan banyak lagi faktor lain seperti latar belakang murid-murid, keprihatinan ibu-bapa, lokasi dan sebagainya. Saya pernah beberapa kali pergi ke tempat tersebut.Bukan sahaja sekolah, malahan masjid dan bandar di sana turut ditadbirkan dengan baik dan eprnah menerima beberapa anugerah peringkat nasional.Tahniah!

Saya tidak berniat untuk mengapi-apikan isu ini.Tetapi, saya tidak mahu lagi mendengar sekolah kebangsaan dipandang rendah dan dihina serta dihentam oleh golongan ultra-kiasu.Inilah kebenaran yang amat pahit untuk ditelan hingga terpaksa diluahkan.Sebenarnya, sekolah kebangsaan banyak yang hebat dan mungkin lebih baik dari sekolah vernakular, cuma kadangkala kita tidak pandai untuk menonjolkannya.Ingat, hari ini golongan ultra kiasu ini sibuk dengan kempen keahlian di kalangan orang Islam.Justerus, dalam usaha untuk mengalihkan perhatian mereka dan menjadikan kita lebih relevan,maka kita perlu berhujah berasaskan ilmu dan kajian, bukan memberi hujah yang pelik dan emosi semata-mata.

Bila saya bentangkan contoh-contoh ini, saya mohon saudara seIslam saya mengambil ikhtibar betapa orang lain sudah menggapai bintang.Apakah kita masih mahu terus berada di awan?Pernahkah kita duduk semeja berbincang mengenai tahap pendidikan kebangsaan kita?Bagaimanakah tahap perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini?Sejauh manakah kita memahami hubungan antara majoriti-minoriti?Apakah garis panduan dan formula yang perlu digunapakai?Ataupun kita mahu menggunakan pendekatan hak asasi manusia yang kadangkala langsung tidak berasas?

Saya fikir sudah sampai masanya umat Islam bersatu dan berfikir akan masa depan kita.Jangan terlalu asyik berpolitik.Ia tidak akan menguntungkan kita, malahan akan menghancurkan.Kenapa kita sanggup cabar mencabar dan kadangkala hampir mahu menggunakan kekerasan sesama sendiri?Apakah ia menguntungkan?Tidakkah kita boleh berbincang untuk memperkasakan pembinaan sebuah negara bangsa bertunjangkan Islam sebagai agama persekutuan?

Kita perlu berfikir dan memerah keringat untuk memperkasakan perkara asas beragama dan bernegara dalam masyarakat berbilang kaum.Kita tidak boleh menafikan hak orang bukan Melayu kerana kita telah menerima mereka seadanya.Namun demikian, ia tidak bermakna kita perlu mengikut segala kehendak mereka.


SAYA di dalam artikel ini ialah Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia.Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.Dipetik dari Utusan Mingguan 31 Januari 2010.

No comments: