Thursday, October 30, 2008

Sama Rata,Sama Rasa?

Kita kini berhadapan dengan suatu masalah besar,iaitu terdapat cubaan pihak-pihak tertentu yang cuba untuk meruntuhkan politik berasaskan kaum dan digantikan dengan politik kelas.

Politik kelas ini berkonsepkan semua kaum itu sama,tidak kiralah mereka itu pendatang mahupun bumiputera,ataupun berapa ramaikah jumlah mereka di Malaysia ini.Hak yang sama rata diberikan.Mungkin dari sini bunyinya cukup bagus dan adil,tetapi benarkah sedemikian?

Ia berasal dari ideologi sosialis yang diamalkan beberapa lama dahulu oleh negara-negara komunis dan segelintir kuasa besar di rantau Eropah.Dan kita melihat di Malaysia,ia diperjuangkan oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang juga meneruskan perjuangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew di Singapura.PAP itu sosialis,dan DAP itu juga sosialis.Akan tetapi,jika kita mengkaji sejarah,sosialisme ini sudah lama runtuh di Eropah dan digantikan dengan sistem kapitalis.Namun,kebanyakan kuasa Eropah bersembunyi di sebalik nama sosialis ini biarpun menegakkan ideologi kapitalis.

Jika politik Malaysia pada masa depan berasaskan kelas,maka runtuhlah perjuangan bangsa selama ini.Mungkin di sini,bunyinya agak perkauman,akan tetapi hakikatnya racialisme itu betul kerana sememangnya kestabilan politik di Malaysia adalah berdasarkan bangsa,iaitu keharmonian perhubungan antara kaum yang dijalinkan selama ini.Tetapi umum perlu mengetahui bahawa orang Melayu tidak boleh dilabelkan sebagai racist,hanya kerana mereka memperjuangkan hak-hak mereka sebagai mana yang termaktub di dalam Perlembagaan.Sekiranya orang Melayu ini racist,mereka sudah pastinya tidak akan memberi hak kepada kaum lain untuk berpolitik sepertimana yang dilakukan oleh Klu Klux Klan di Amerika Syarikat.

Perjuangan ke arah politik kelas ini sudah lama muncul sebenarnya di Malaysia apabila dibawa pertama kali oleh Lee Kuan Yew.Tetapi,kesan penerimaannya itu kurang ketara akibat tidak begitu dihiraukan oleh orang Melayu.Namun kini,kelihatan anak-anak muda kita yang terlalu liberal,lalu diterima pakai tanpa memikirkan kesan penerimaan tersebut.Dan mereka memahaminya dari sudut Barat.

Kesamarataan Barat

Banyak pendatang di negara-negara Eropah umpamanya tidak akan dianggap sebagai pendatang kecuali di Jerman dan Perancis.Akan tetapi,mereka ini diasimilasikan ke dalam budaya tempatan.Contohnya,Menteri Kehakiman Perancis merupakan orang Morocco asalnya,tetapi kini diasimilasikan kedalam budaya Perancis.

Tetapi situasi di Malaysia adalah amat berbeza.Walaupun keturunan kaum pendatang ini lahir di sini,tetapi budaya mereka masih asing.Mereka tidak tahu pun tentang sejarah Tanah Melayu dan lebih ironiknya lagi,ada di kalangan mereka tidak tahu pun berbahasa Melayu.

Masalah Budaya

Situasi yang disebutkan tadi terjadi kerana sikap liberal kita sehinggakan pendatang ini tidak tahu sejarah dan tidak mahu ambil endah soal Bahasa Melayu.Itu sebabnya mereka dipanggil sebagai pendatang,kerana tiada perubahan yang radikal berlaku dalam diri dari segi budaya dan penampilan.Mereka masih mendukung budaya dan sikap pendatang.Orang Cina umpamanya,mementingkan pendidikan Cina.Mereka belajar sastera,budaya dan sejarah asal mereka melebihi apa yang mereka patut belajar di sini.Kesannya,kaum-kaum yang berbeza identiti ini akan terus terpisah dalam compartment racist ini.

Daripada satu sudut,politik kelas adalah jalan untuk memecahkan gap antara kaum ini.Tetapi,dari sudut jangka masa panjang ia akan merugikan bumiputera buat selama-lamanya dimana mereka akan terus duduk di bawah.Tidak perlu pergi jauh;lihat sahaja Melayu di Singapura,apa jadi?Dengan itu,mungkin sudah tidak akan ada lagi golongan menengah dan atasan dari kalangan bumiputera.

Kesedaran

Adakah golongan Melayu Elit ini sedar akan kesan perubahan politik ini?Ya.Oleh itu,Tun Dr Mahathir Mohamad dan UMNO berusaha sejak sekian lama untuk membina dan mengukuhkan kelas Melayu menengah,iaitu memperbanyakkan golongan profesional dari kalangan Melayu.UMNO sedar akan hal ini,tetapi tidak mampu untuk mengelak sekiranya ini berlaku.Hasilnya?Ramai bumiputera akan jadi golongan bawahan.
Itu sebabnya kerajaan perlu campur tangan di dalam mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.Jika tidak,generasi bumiputera pada masa akan datang sudah tidak mampu untuk mendapat pendidikan tinggi,dan akhirnya,kelas menengah dan atasan bumiputera tadi,tidak mampu untuk dibentuk.

Perkara 153 dan relevansinya

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diperuntukkan sebagai pembelaan untuk pembangunan sosio-ekonomi kaum bumiputera.Ini dijalankan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pelaksanaan DEB adalah bertujuan untuk:
Membela sesiapa sahaja yang tidak mampu
Akan tetapi kebetulan yang lemah itu majoritinya orang Melayu
Namun demikian,DEB masih relevan untuk semua kaum

Kita lihat senario politik dewasa ini,pembangkang cuba berusaha untuk menghapuskan Perkara 153 atas nama kesamarataan.Masalahnya kini,pemimpin-pemimpin UMNO tidak pandai berhujah dalam isu ini.Kerajaan sebenarnya membela semua lapisan dan golongan masyarakat tanpa mengira kaum.Tetapi UMNO tidak mendedahkan semua itu dan hanya menyebutkan Melayu sahaja.Sepatutnya ini perlu merangkumi kaum bumiputera Sabah dan Sarawak,barulah ia dapat menangkap imaginasi pelbagai kaum.

Di dalam suasana perpecahan antara orang Melayu sekarang,parti politik dan NGO Melayu perlulah merintis ke arah penyatuan secara total.Ini perlu dilakukan dengan memperjelas dan mempertahankan perkara 153 Perlembagaan.Hak ini perlu dipertahankan sehinggalah ke tahap kita boleh menuntut untuk membahagikan kekayaan negara.Yang salah ketika ini,kita membahagi-bahagikan ekuiti yang sebenarnya tiada makna.Kita perlulah adil mengikut populasi.

Melayu Liberal

Golongan ini adalah mereka yang tidak terlibat di dalam sejarah bangsa ataupun tidak tahu sejarah bangsa.Kebanyakannya lahir selepas merdeka.Mereka cuma tahu modern legal politics yang secara jelasnya terpengaruh dengan prinsip-prinsip kebebasan Amerika Syarikat.
Sebenarnya,jikalau kita lihat Amerika sekalipun tidaklah mengamalkan liberalisasi secara total.Hanya sekarang barulah orang Afro-Amerika baru mendapat tempat yang tinggi di dalam sistem politiknya.Itu pun,Barack Obama di dalam Parti Demokrat.Dia tidak akan dapat tempat yang serupa jika berada di dalam Parti Republikan.Ini kerana Republikan juga masih mempertahankan sistem politik berasaskan kaum.

Akan muncul juga suatu hari nanti di Malaysia,dua golongan politik.Salah satunya memperjuangkan politik kelas seperti Demokrat dan yang lain mempertahankan racial politics seperti Republikan di Amerika dan Parti Konservatif di England.

Perlu kita mengetahui bahawa semua ini bakal terjadi bukanlah kerana lemahnya politik Melayu,tetapi lemahnya pemikiran pemimpin-pemimpin Melayu,terutamanya pada masa sekarang.Mereka tidak dapat menterjemahkan Perlembagaan Persekutuan dan seterusnya mempertahankannya.Kita mampu mengatasi kepincangan yang berlaku pada masa kini sekiranya ramai pemimpin yang berfikiran seperti Tunku Abdul Rahman.Tetapi Tunku sendiri menjadi liberal sehinggalah tercetusnya Peristiwa 13 Mei 1969.Jikalau kita dapat memperjelaskan Perlembagaan kepada rakyat Malaysia,masalah yang kita hadapi kini sudah semestinya tidak akan sampai ke tahap sebegini.

Tuesday, October 28, 2008

Kontrak Sosial Malaysia-Dipetik dari Chedet.com

1. Sebelum adanya Malaya dan Malaysia, semenanjung ini dikenali sebagai Tanah Melayu.

2. Hanya berkata ini akan sebabkan kita dituduh bersifat perkauman.

3. Untuk terangkan berkenaan asal-usul kontrak sosial Malaysia saya terpaksa imbas semula sejarah.

4. Melalui perjanjian-perjanjian yang ditandatangani Raja-Raja Melayu Semenanjung, British telah mendapat hak untuk menakluk Negeri-negeri Melayu. Perjanjian-perjanjian ini mengakui dan mengesahkan Negeri-negeri ini sebagai Negeri-negeri Melayu. Tidak ada sesiapa pun yang membantah. Orang Asli juga menerima keadaan ini dengan penerimaan oleh mereka pemerintahan Raja-Raja Melayu.

5. Pada mulanya penduduk yang tinggal di Negeri-negeri ini dibahagi kepada orang Melayu dan Orang Asli yang merupakan rakyat Raja-raja Melayu dan tetamu asing yang tidak dianggap sebagai rakyat kepada Raja-raja Melayu. Tidak ada kewarganegaraan mahupun dokumen berkenaan taraf kerakyatan sepertimana di kebanyakan negara-negara lain.

6. Tetamu asing ini hidup mewah di Negeri-negeri Melayu di bawah pentadbiran British dan di jajahan British di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Orang Melayu yang menjadi rakyat kepada Raja-raja Melayu dan Raja-raja Melayu sendiri tidak sikitpun merasa tergugat dengan bilangan besar orang bukan Melayu dan perbezaan jurang kekayaan dan kemajuan di antara tetamu asing ini dan rakyat Raja-Raja Melayu. Mereka tidak terfikir yang orang asing yang menetap di negara ini akan menuntut hak kewarganegaraan.

7. Apabila Jepun menakluk Negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat, orang Cina merasa tidak selamat kerana Jepun merupakan musuh tradisi mereka.

8. Ramai orang Cina telah menubuhkan dan menganggotai angkatan gerila dan lari ke dalam hutan. Apabila Jepun serah diri, gerila-gerila Cina ini keluar dan merampas balai-balai polis di kawasan pedalaman dan isytihar yang mereka adalah pemerintah negara ini. Mereka menangkap ramai orang, Cina dan Melayu dan beberapa daripada mereka ini dibunuh.

9. Orang Melayu di kampung-kampung membalas dengan membunuh orang Cina di kawasan luar bandar. Ketegangan timbul dan pertempuran antara Cina dan Melayu dielak hanya dengan kedatangan angkatan tentera British. Tetapi perasaan marah dan benci antara kedua-dua kaum ini tetap tinggi.

10. Di dalam keadaan tegang ini British mencadang penubuhan Malayan Union yang akan memberi "tetamu-tetamu" ini hak kerakyatan yang tidak membezakan mereka daripada orang Melayu.

11. Orang Melayu menolak Malayan Union dan cadangan hak kerakyatan ini. Mereka paksa British untuk kembali keapda keadaan asal atau status quo ante di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) yang baru.

12. Hanya orang Cina yang menjadi rakyat Negeri-negeri Selat layak untuk mendapat kerakyatan di dalam Persekutuan yang baru ini. Sudah tentu warganegara keturunan Melayu jauh lebih ramai daripada rakyat Malaya yang berketurunan Cina.

13. Pemimpin-pemimpin Cina merayu kepada British, yang kemudiannya menekan Presiden UMNO, Dato Onn Jaafar supaya mencadangkan agar UMNO dibuka kepada semua kaum. Cadangan ini ditolak lain-lain pemimpin UMNO dan Dato Onn terpaksa melepaskan jawatan.

14. British terus beri tekanan kepada orang Melayu untuk bersikap lebih terbuka berkenaan soal kerakyatan bagi orang bukan Melayu.

15. Presiden UMNO Tunku Abdul Rahman memutuskan untuk menubuhkan pakatan dengan MCA (Malaysian Chinese Association) dan MIC (Malaysian Indian Congress). Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Assembly) 1955, oleh kerana kurangnya kawasan majoriti penduduk Cina dan India, MCA dan MIC terpaksa letak calon mereka di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu selepas UMNO bersetuju untuk tidak bertanding di kawasan-kawasan ini dan sebaliknya menyokong calon Cina MCA dan calon India MIC.

16. Begitu sokongan orang Melayu terhadap calon Perikatan MCA dan MIC hinggakan mereka menang walaupun menentang calon Melayu daripada PAS. Calon MCA dan MIC kesemuanya menang. Hanya UMNO kalah satu kerusi kepada PAS.

17. Tunku sebagai Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu kemudian memutus untuk menuntut kemerdekaan. British terus berkeras menuntut hak kerakyatan bagi orang Cina dan India sebagai syarat memberi kemerdekaan.

18. Untuk mengatasi halangan British terhadap kemerdekaan dan untuk memenangi sokongan orang Cina dan India Tunku memutuskan untuk beri satu juta kerakyatan kepada kedua-dua komuniti ini berdasarkan hanya kepada permastautin. Salah seorang rakyat baru yang menonjol ialah (Tun) Leong Yew Koh, bekas general di dalam angkatan tentera nasional China yang kemudiannya dilantik Gabenor Melaka.

19. Di peringkat ini pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti yang berdasarkan kepada kaum yang telah mendirikan Kerajaan pemerintahan sendiri di dalam Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) British telah berbincang dan mencapai persetujuan berkenaan syarat perhubungan antara ketiga-tiga kaum di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.

20. Ianya merupakan agihan yang sama rata. Sebagai balasan untuk satu juta kerakyatan bukan Melayu, orang bukan Melayu mesti mengakui kedudukan istimewa orang Melayu sebagai Bumiputera. Beberapa peruntukan undang-undang seperti kedudukan Islam sebagai agama rasmi, pengekalan tanah rizab Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan adat istiadat Melayu dan pengagihan jawatan dalam Kerajaan juga termasuk di dalam persefahaman ini.

21. Dalam soal Bahasa Kebangsaan, Bahasa Melayu telah dipersetujui sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris pula sebagai bahasa ke-dua. Kaum Cina dan India boleh terus gunakan bahasa mereka tetapi bukanlah sebagai bahasa rasmi untuk berkomunikasi.

22. Sekolah rendah Cina dan Tamil juga boleh menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengajar. Bahasa-bahasa ini juga boleh digunakan di sekolah menengah, tetapi hanya di sekolah menengah swasta.

23. Di pihak mereka pemimpin-pemimpin Cina dan India yang mewakili parti mereka menuntut agar kerakyatan dijadikan hak mereka yang tidak boleh ditarik balik, mereka dibenar kekalkan bahasa, agama dan budaya mereka dan sebagai rakyat mereka diberikan hak politik sepertimana yang diberikan kepada semua rakyat.

24. Kebanyakan persetujuan dan persefahaman ini terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu merdeka. Bagi setiap yang diperuntukkan kepada orang Melayu, akan sentiasa terdapat peruntukan bagi yang bukan Melayu. Tidak ramai yang sebut akan hakikat ini. Yang menarik perhatian ramai dan yang menjadi tajuk perbalahan ialah apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu dan lain-lain kaum Bumiputera sahaja.

25. Demikian walaupun Bahasa Melayu dijadikan Bahasa Kebangsaan, bahasa Cina dan Tamil tetap bebas digunakan di sekolah Cina dan Tamil. Peruntukan ini tidak terdapat di mana-mana negara lain. Bahkan di negara-negara yang liberal sekalipun tidak terdapat jaminan seperti ini yang termaktub di dalam Perlembagaan.

26. Bahasa Kebangsaan ini haruslah dipelajari semua orang agar setiap warganegara Malaya dapat berkomunikasi antara satu sama lain di mana-mana sahaja.

27. Difahamkan bahasa Cina yang di maksudkan di dalam persefahaman tersebut adalah dialek-dialek Cina yang ditutur di Malaysia dan bukannya bahasa kebangsaan negeri China. Demikian bagi kaum India Malaya bahasa Tamil digunakan dan bukannya Hindi atau Urdu atau apa-apa bahasa pun yang menjadi bahasa Kebangsaan di India. Tetapi para pendidik aliran Cina kemudiannya mengguna Bahasa Cina yang menjadi bahasa Kebangsaan negara China iaitu Mandarin.

28. Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh dipraktik penganut masing-masing tanpa apa-apa halangan. Sebagai agama rasmi Islam mendapat bantuan Kerajaan. Tiada tersebut tentang bantuan bagi mana-mana agama lain. Bukan Melayu tidak menekankan tentang ini dan Perlembagaan Persekutuan tidak pun sebut tentang bantuan Kerajaan terhadap agama lain. Namun sokongan dan bantuan tetap diberikan.

29. Kuota ditetapkan bagi kakitangan Kerajaan (Malayan Civil Service) dimana orang Melayu akan mendapat empat tempat bagi setiap satu yang diberikan kepada orang Cina dan India. Walaubagaimanapun, jawatan profesional diiktiraf terbuka bagi semua kaum kerana dianggap tidak mungkin terdapat cukup bilangan orang Melayu untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

30. Hasilnya pada awal kemerdekaan terdapat lebih ramai kaum bukan Melayu daripada Melayu yang mengisi jawatan dalam Divisyen Satu.

31. Yang Di-Pertuan Agong atau Raja-raja Melayu akan menentukan kuota biasiswa dan lesen bagi orang Melayu. Tetapi tiada sesiapa yang akan dirampas mana-mana permit atau lesen hanya untuk diberikan kepada kaum Bumiputera.

32. Kedudukan Raja-raja Melayu termaktub dan tidak boleh dipersoalkan. Seorang Yang Di-Pertuan Agong akan dipilih daripada sembilan Raja-raja Melayu dan akan berkhidmat selama lima tahun.

33. Raja-raja akan menjadi Raja berperlembagaan. Kuasa eksekutif akan dilaksanakan oleh Menteri Besar, Ketua Menteri dan Perdana Menteri yang dipilih dan dibantu ahli majlis atau Kabinet. Amalan British dijadikan contoh.

34. Persetujuan yang paling penting ialah pelaksanaan Demokrasi Berparlimen digabungkan dengan Raja Berperlembagaan, sekali lagi seperti yang diamalkan di United Kingdom. Harus diingat pihak British telah mengenakan Kerajaan Kolonial kuku besi ke atas Negeri-negeri Melayu dengan kuasa diletak pada Pejabat Kolonial di London.

35. Sebelum ini Negeri-negeri Melayu diperintah secara feudal di mana Raja-raja Melayu mempunyai kuasa mutlak. Hanya golongan bangsawan yang memain peranan dalam politik negeri. Rakyat Melayu tidak langsung ada apa-apa hak politik. Sudah tentu tetamu juga tidak mempunyai suara dalam hal-hal berkenaan politik. Warganegara British keturunan Cina dan India juga tidak mempunyai apa-apa suara walaupun mereka boleh dilantik sebagai Ahli Kehormat Majlis Kerajaan Tempatan atau Perundangan.

36. Keputusan untuk melaksana sistem Kerajaan berlandaskan demokrasi merupakan satu langkah radikal di dalam pentadbiran Kerajaan di Persekutuan Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu. Ini dipersetujui pemimpin ketiga-tiga kaum terbesar yang diwakili parti-parti politik UMNO, MCA dan MIC. Tidak syak lagi yang parti-parti ini mewakili sebahagian besar daripada ketiga-tiga masyarakat di Malaya. Pihak Komunis dan yang berhaluan kiri lain tidak menyatakan persetujuan mereka terhadap persefahaman ini.

37. Suruhanjaya Reid diberi penerangan tentang perjanjian dan persefahaman ini agar ianya akan dimasukkan kedalam Perlembagaan yang akan digubal. Ketiga-tiga parti meluluskan Perlembagaan yang digubal setelah beberapa pindaan dilakukan. Kesannya Perlembagaan ini menjadi kontrak yang mengikat ketiga-tiga kaum di Persekutuan Tanah Melayu menjelang merdeka pada tahun 1957.

38. Apabila Sabah dan Sarawak menyertai Negeri-negeri Semenanjung untuk membentuk Malaysia kontrak sosial ini di panjangkan kepada kedua-dua negeri ini. Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak di beri taraf yang sama dengan orang Melayu. Pada masa ini juga perkataan Bumiputera diperkenalkan untuk membezakan orang Melayu dan orang Bumiputera Sabah, Sarawak daripada yang berketurunan pendatang. Kerana Bahasa Melayu dugunakan secara meluas di negeri-negeri Borneo tidak ada kesulitan bagi penerimaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Walaupun kaum Bumiputera di kedua-dua negeri ini bukan semuanya orang Islam ini tidak memerlukan pindaan kepada Perlembagaan apabila perkataan Bumiputera diterima. Tetapi definisi rasmi bagi orang Melayu tetap tidak berubah.

39. Oleh itu pembentukan kontrak sosial dimaktubkan dalam pertama, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia. Untuk mengatakan yang ianya tidak wujud samalah dengan menidakkan kandungan Perlembagaan yang diasaskan kepada penerimaan oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga kaum terhadap kontrak sosial yang asal.

40. Kesemua tindakan susulan oleh Kerajaan adalah hasil daripada kontrak sosial ini. Hakikatnya pencetus kontrak sosial ini dan pewaris-pewaris mereka yang diiktiraf rakyat di setiap Pilihanraya Umum menunjukkan kesediaan rakyat untuk menghormati kontrak sosial ini.

41. Menidakkan kewujudan kontrak sosial ini ialah seperti berkata yang Malaysia ini wujud di dalam suasana kekosongan, tidak ada Perlembagaan dan undang-undang yang berlandaskan kontrak ini.

42. Pelaksanaan kontrak sosial ini memerlukan pemahaman semangatnya yang mendalam. Kontrak sosial ini bertujuan mewujudkan satu negara berbilang kaum yang stabil dan harmoni. Apa jua faktor yang akan akibatkan ketidakstabilan dan menghasilkan ketegangan di antara kaum haruslah dianggap tidak sesuai dengan semangat kontrak sosial ini.

43. Selama 50 tahun tidak ada sesiapa yang menyoal kontrak sosial ini. Malahan hari ini pun majoriti kaum Cina dan India dan Bumiputera Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak menerima kontrak sosial ini. Tetapi kerana Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi pada asasnya kalah dalam pilihanraya 2008 dan sekarang mengetuai Kerajaan yang lemah, pihak ekstrimis dan penyanggah sekarang ini mempersoalkan kontrak sosial ini. Majlis Peguam kini telah menjadi sebuah parti politik yang percaya bahawa kepakarannya dalam undang-undang akan mengecualikan ianya daripada dipersoal tentang kelayakannya dan objektif politiknya.

44. UMNO Abdullah tidak berdaya menangkis apa-apa serangan terhadap kontrak sosial ini. Jika apa-apa terjadi Abdullah dan UMNO harus dipertanggungjawabkan.

Saturday, October 25, 2008

Pengumuman Blog

Assalamualaikum wbt,

Untuk makluman pengunjung-pengunjung blog ini,saya baru sahaja menamatkan kursus kenegaraan anjuran Biro Tatanegara (BTN) di KBN Tanjung Rhu,Sepang yang telah bermula pada 20 Oktober yang lepas.Oleh yang demikian,sepanjang tempoh ini saya tidak mengemaskinikan blog ini.

Insya Allah,dalam penulisan yang akan datang,saya akan memasukkan input serta pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus ini.

Dan seterusnya,saya ingin memaklumkan bahawa permohonan saya untuk mendapatkan penginapan tahunan di Massey University telah pun diterima.Saya akan tinggal di Kairanga Court yang lebih kurang 2 minit berjalan kaki ke dewan kuliah Bangunan Riddet.Sekarang ini,saya hanya perlu melengkapkan beberapa dokumen untuk mengesahkan penerimaan tawaran ini.

Urusan-urusan yang lain selepas ini ialah pemeriksaan kesihatan dan melengkapkan borang permohonan untuk mendapatkan visa.

Jadi sama-sama kita doakan agar saya dan rakan-rakan lain berjaya akhirnya untuk melanjutkan pelajaran ke Australia dan New Zealand pada tahun depan,Insya Allah.....

Sekian,terima kasih.

Mohd Nadly Aizat Mohd Nudri.

Tuesday, October 14, 2008

Al-Quran atau Bible,manakah Kalam Allah sebenar?-Bahagian Akhir.

Pada bahagian perbincangan yang terakhir ini,saya akan mengupas secara umum perbandingan di antara Bible dan Al-Quran,dek kerana kesuntukan masa dan kesempatan,di samping memberi peluang kepada topik-topik yang lain pula untuk diperbincangkan.Saya akan cuba menulis dengan cara yang mudah difahami oleh pembaca sekalian,Insya Allah….
Penekanan diberikan atas berapa aspek.Ayuh,kita mulakan.

Percanggahan (contradiction)

Allah SWT sebenarnya telah menyatakan kepada kita,bagaimana hendak mengenalpasti sesuatu inskripsi agama,sama ada ia datang dari Allah,mahupun tidak.Ujian ini ada di dalam Al-Quran,iaitu di dalam surah Nisaa,ayat yang ke-82;

Photobucket

Ujian ini boleh dilakukan terhadap mana-mana buku yang didakwa Kalam Allah.Kita cuma perlu melihat sama ada ia konsisten dengan dirinya sendiri.

Tetapi,ada pihak di kalangan umat Kristian sendiri yang mendakwa terdapat lebih 50 000 kesilapan fakta di dalam Bible!

Photobucket

Di dalam entri ini,saya akan berikan satu contoh kontradiksi daripada The New Testament,iaitu dari Gospel of John,Chapter 18,verse number 9 (John 18:9);

That the saying might be fulfilled,
which He spoke;
"Of those whom You gave Me,
I have lost none."


Di dalam ayat ini,Jesus berdoa kepada Tuhan dan menyatakan bahawa dia tidak akan kehilangan "mereka",iaitu kesemua 12 orang pengikutnya (Twelve’s Disciples) setelah apa dan yang akan berlaku terhadap dirinya.

TETAPI,di dalam Bab sebelumnya,iaitu Bab ke-17,di dalam ayat ke-12 (John 17:12) :

While I was with them in the world,
I kept them in Your name.
Those whom You gave me;
I have kept;And none is lost,
EXCEPT the son of perdition.


‘Son of perdition’ di sini merujuk kepada Judas Iscariot.Bermaksud,di dalam bab ini,Jesus kehilangan Judas Iscariot yang berpaling tadah terhadapnya dan menyertai pendita Yahudi,seterusnya membawa kepada penyaliban Jesus.

Di dalam Bab 18 tadi Jesus berkata dia tidak kehilangan mana-mana pengikut Dua Belas nya.Tetapi di dalam Bab 17 pula,Jesus berkata dia hilang seorang pengikutnya.

MANA SATU YANG BETUL?

Sekiranya situasi ini berlaku di mahkamah,di mana seorang saksi memberi kenyataan yang bercanggah pada dua masa yang berlainan,dia boleh didakwa atas kesalahan memberi kenyataan palsu.Fikir-fikirkan……..

Sifat Allah SWT

Di dalam Bible,iaitu mulanya di dalam Book of Genesis,kita diberitahu bahawa Allah menciptakan alam semesta ini dalam tempoh enam hari.Dan,menurut Book of Exodus,Chapter 31,verse number 17,Allah telah ‘berehat’ dan ‘tidur’.Bermaksud apabila setelah kerja keras selama enam hari mencipta alam ini, Allah terpaksa berehat pula?

Ini adalah karut sepenuhnya dan menghina Allah sebagai Tuhan sekalian alam.

Menurut Al-Quran pula,di dalam Surah Qaf,ayat 38 yang berbunyi;

"We created the heavens and the earth and all between them in six Days; nor did any sense of weariness touch Us"

Ayat ini membuktikan sifat ketuhanan Allah yang sebenar,iaitu suci daripada rasa letih dan lemah yang mana ia merupakan sifat manusia.

Jadi,pilihan terserah kepada anda;sama ada sifat Tuhan yang diterangkan di dalam Bible yang mana perlukan rehat dan tidur,mahupun Al-Quran yang mengesahkan kekuasaan-Nya sebagai Tuhan sekalian alam.

The Omnipotence of God

Ini adalah yang terakhir.

Di dalam Bible,iaitu di dalam the New Testament,Mark menceritakan di dalam Injilnya; (Mark 10:27);

But looking at them,Jesus said;
"With men it is impossible,
but not with God;for with God
all things are possible."


Setuju di situ.Al-Quran mengesahkannya kerana apabila Allah inginkan sesuatu itu terjadi (Kun), maka jadilah ia (Fayakun).

Akan tetapi,di dalam Old Testament ada ayat yang menafikannya.
Di dalam Book of Judges,Chapter 1,verse number 19 (Judges 1:19);

So the Lord was with Judah.
And they drove out the inhabitants of the mountains,
but they COULD NOT drive out the inhabitants of the
lowlands;because they had the chariots of iron.


Lord yang dimaksudkan ialah Tuhan,manakala Judah adalah dari keturunan Israel.Adalah suatu bentuk anomali apabila Tuhan tidak berkuasa menghalau penduduk tanah rendah hanya kerana mereka mempunyai ‘kereta kebal’??

Sedangkan di dalam Al-Quran tertulis di dalam surah Buruj;

"Doer of all that He intends"

Sekali lagi,pilihan terletak di tangan anda.

Al-Quran ataupun Bible,yang manakah Kalam Allah yang sebenar??
Sekian sahaja untuk kali ini.Mudah-mudahan anda memperoleh manfaat daripada hasil penulisan saya ini.Insya Allah,saya akan terus menulis pada masa yang akan datang dengan topik yang lain pula,sama ada di dalam skop perbandingan agama ataupun yang luar.

Jazakallah...

Monday, October 13, 2008

Pertahan Perkara 153

Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan.Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.

Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung kearah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan.Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.Kononnya atas menegakkan prinsip kesamarataan dan keadilan,peruntukan ini cuba diganggu gugat.Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan perkara 153,desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catitan sejarah.

Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan,malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).Justeru,sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.

Kaitan

Penggubalan DEB dicetuskan pada era Tunku Abdul Rahman.Ini adalah suatu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.
Melaka pada ketika itu merupakan suatu tamadun yang cemerlang.Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diikhtiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia.

Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentranformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara sungai Melaka menjadi suatu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.

Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebuah kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin,pengurus,dan pekerja yang baik-inilah yang menyusun sesebuah tamadun.

Apabila kalah pada Portugis pada tahun 1511,kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan mengusahakan aktiviti yang kurang produktif.
Oleh kerana ketika itu sistem feudal diamalkan,orang Melayu tidak mampu jadi produktif kerana kerana hasil mereka sebahagian besarnya terpaksa diberikan kepada raja dan bangsawan.Akibatnya,mereka jadi miskin dan papa kedana.

Hanya pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein,penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu.Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit,biasiswa,agama Islam,bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.

Semua itu telah mendorong DEB digubal.Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.

Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia,perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal.Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat.Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.

Pengikhtirafan kepada Pribumi

Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal?Kenapa tidak orang Asli yang lebih awal tidak diikhtiraf sebagai memulakan tamadun?Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan tamadun akan menjadi asas pengikhtirafan.Dari segi sejarah,pengikhtirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal,biarpun ada orang Asli.Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.

Dalam mewujudkan perkara 153 dalam Perlembagaan,ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.Perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran daripada Dato’ Onn Jaafar.

Ia lebih awal kerana Tunku muncul di penghujung.Apa yang ingin saya katakan,perjuangan untuk mewujudkan perkara 153 ini sudah wujud sejak zaman komunis lagi.Inilah cabaran pertama.Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada suatu usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana disyaki bersubahat dengan Jepun.Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini.Maknanya,langkah itu bakal memberi pengikhtirafan yang sama rata kepada orang Melayu,Cina,dan India.Walaupun Bintang Tiga ditentang keras namun masih berjaya juga mempengaruhi segelintir orang Melayu.

Seandainya republik diwujudkan maka dengan sendirinya Perkara 153 tidak akan wujud.
Malang dalam usaha itu,orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak yang berbeza.Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadikan Malaya sebuah republik.Darurat terpaksa diisytiharkan dari tahun 1946 hingga 1960.

Perbuatan PKM ini adalah suatu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana perlembagaan itu mempunyai suatu peruntukan yang memberi pengikhtirafan kepada penduduk pribumi.Ribuan warga keselamatan kita gugur sepanjang darurat tersebut,dan mereka ini bukannya mati katak.Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengikhtirafan kepada pribumi.

Titisan darah wira-wira yang terkorban harus dikenang dengan pengikhtirafan tersebut.Kita mesti menghargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu merdeka.

Siapa mereka ini,jarang sekali atau tidak pernah disebut.Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya,tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi tonggaknya.

Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB berkaitan perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union.Ia sebenarnya suatu konsep republik sebagaimana yang diperjuangkan oleh PKM dan Bintang Tiga.Sebab itulah dalam Malayan Union,terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan jus soli-ertinya siapa saja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.

Menggugat

Gabenor British pada ketika itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang menggabungkan kekuatan orang Melayu itu dapat dibendung.British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti membuka keahlian kepada bukan Melayu.Secara harfiahnya,dengan berbuat demikian bererti menerima Malayan Union.British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.

Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh PKM dan Bintang Tiga.Gabenor British memberi syarat kalau Dato’ Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka,orang lain harus mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.

Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.
Tetapi,apabila orang Melayu tahu bahawa sekali lagi kedudukan raja tidak dihormati,hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Dato’ Onn Jaafar.Semua itu adalah cabaran ketiga dalam mempertahankan Perkara 153.

Ini adalah hasil pengorbanan Orang Melayu;orang Melayu ditindas selama 450 tahun,orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan orang Jepun dan Bintang Tiga,dan kemudiannya diperkudakan British dengan cubaan memanipulasikan UMNO.

Malaysian Malaysia

Ini merupakan cabaran keempat didalam usaha mempertahankan perkara 153.Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia.-konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.

Ertinya,mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153,apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB.PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.

Jika dikaji, Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung.Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita.Apa yang dikemukakan Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disokong oleh orang Cina Semenanjung,Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu bakal menjadi kenyataan.

Kini kita cuba menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep ’sama rata sama rasa’ cuba diperjuangkan oleh pembangkang.Dengan menjadikan perkara itu sebagai tonggak kenegaraan,bererti Melayu tidak lagi menjadi tonggak.
Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok.Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh kuasa besar dunia.

Langkah Terbaik

Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini.Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara.Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan saiz ekonomi Malaysia.Begitu juga dengan Jepun berbanding China.Semua ini didorong oleh saiz ekonomi.

Kita melihat bahawa pembangkang menganggap dengan adanya perkara 153 dan DEB ia adalah suatu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita.Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari situ melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin,daif dan terhina ini.Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat pada tahap yang begitu hebat.Walaupun sama-sama naik tetapi masih banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara bandar dan luar bandar.

Pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada perkara 153.Selagi DEB yang mentransformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tiada parti yang dapat menggantikan UMNO.Maknanya,dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila-bila.

Strategi pembangkang ialah,mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi suatu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan pembangkang mendominasikannya.
Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pejuang-pejuang terdahulu yang gugur bagi membolehkan pembentukan asas Perlembagaan,generasi muda kita akan mudah dipengaruhi.Itulah sebenarnya rasional penggantian DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

Agenda Ekonomi Malaysia ini harus ditolak.Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengikhtirafan kepada semua kaum dengan metodologi yang bertentangan dengan DEB.DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.

Kalau populasi bumiputera 65 ,peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau dengan yang tujuh peratus.Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan.Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata.Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan dengan DEB.

Penutup

Perkara ini perlu disebutkan supaya rakyat Malaysia faham akan laluan dan rentetan sejarah.Dalam memahami cita-cita untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak berkorban dan terkorban dalam menegakkan Perlembagaan ketika itu.
Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957.Jika kita tahu laluan sejarah,kontrak sosial dan DEB sudah pasti tidak akan jadi persoalan.Tetapi kini,bukan sahaja debat yang berlaku tetapi nak menghapuskan kedudukan.

DEB bukanlah bertujuan menindas kaum lain sebaliknya untuk membela mereka yang lemah tanpa mengira kaum.Kebetulanlah pula,banyak yang lemah dan miskin itu adalah orang Melayu.Justeru,ideologi bawaan pembangkang ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional dan mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

Tetapi mengapa pula sokongan orang Melayu kini kelihatannya diberi kepada pembangkang?Mungkin mereka tidak tahu sejarah,atau mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ketika ini.Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada kronologi sejarah yang jelas.
Akhir kata,kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan dan kepayahan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.

Pengumuman

Assalamualaikum wbt,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pengunjung blog ini dan juga di atas komen yang diberikan pada setiap entri yang saya tulis.Keprihatinan anda amatlah saya hargai.

Untuk makluman,bahagian akhir bagi topik "Quran atau Bible,manakah Kalam Allah sebenar?" akan saya masukkan ke dalam blog ini tidak lama lagi.Tujuannya ialah untuk memberi peluang kepada artikel-artikel lain yang di luar skop perbandingan agama pula diutarakan.
Sekian sahaja,terima kasih.

MOHD NADLY AIZAT MOHD NUDRI
13/10/2008

Thursday, October 9, 2008

Pihak yang teraniaya dianggap bersalah

Banyak perkara yang kita di Malaysia dapat pelajari daripada pengalaman rakyat di negara-negara lain.Di Palestin, rakyatnya yang telah lama dijajah dan mengalami serba macam penderitaan dan penindasan ekonomi, politik, sosial,pendidikan dan sebagainya tidak diendahkan dunia antarabangsa.Ini disebabkan mereka telah dikelirukan oleh kuasa dunia yang berpengaruh bahawa mereka (rakyat Palestin) adalah pengganas dan pengancam terhadap keselamatan dunia.

Keadaan umat Iraq juga sama dan demikian juga halnya dengan umat di Afghanistan.Mereka semuanya dimasukkan ke dalam golongan pengganas, dan perlu diperangi habis-habisan. Presiden Bush baru sahaja mengumumkan bahawa ribuan askarnya yang sekarang menduduki Iraq akan dipindahkan ke Afghanistan untuk memerangi ancaman ‘pengganas’yang kelihatan semakin berleluasa akhir-akhir ini.Tindakan itu perlu dilakukan katanya ‘untuk menyelamatkan anak cucu kita daripada pengganas dunia itu’.

Kadang-kadang tindakan pribumi sesebuah negara yang tertindas dan telah lama teraniaya untuk memperjuangkan hak mereka sering dilihat sebagai tindakan ganas dan mengancam keselamatan orang lain.Tindakan rakyat Palestin dalam memperjuangkan hak mereka umpamana,terutama ketika mereka bertindak ganas sebagai reaksi terhadap kekerasan yang dilakukan kepada mereka, sering dianggap tindakan ganas yang tidak mengikut lunas-lunas demokrasi dan perikemanusiaan.Ertinya mereka yang bertindak untuk melepaskan diri dari penganiayaan sering pula dilabelkan sebagai golongan pelampau,sedangkan kerajaan Israel yang bertindak ganas terhadap mereka mendapat pembelaan sebagai suatu kuasa yang bertujuan menegakkan keamanan dan demokrasi di sana.

Perkembangan politik di negara kita akhir-akhir ini yang mengalami perubahan radikal secara mendadak akibat “kekalahan” Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum yang lalu,menampakkan satu aliran yang keseluruhannya meletakkan kesalahan terhadap institusi-institusi yang terlibat dengan hak dan keistimewaan orang Melayu dan Islam.

KEISTIMEWAAN

Hak keistimewaan orang Melayu seperti isu-isu yang berkaitan dengan kontrak sosial, Dasar Ekonomi Baru (DEB),dasar pendidikan,malah isu-isu agama Islam juga sering dibangkitkan oleh banyak kalangan, terutamanya ahli-ahli politik.Semuanya ini dijadikan alasan kenapa parti pemerintah mengalami kekalahan mengejut dalam pilihan raya yang lalu dan mengakibatkan kegawatan politik yang serius serta kegelisahan rakyat yang amat memuncak.

Akibat keadaan ini,maka kempen secara meluas dan menyeluruh oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan politik di tanah air kita telah dijalankan serentak sehingga majoriti rakyat terpengaruh.Maka segala tentangan terhadap hak istimewa orang Melayu dan segala institusi yang dikaitkan dengan orang Melayu dan Islam mulai dikritik sebegitu rupa sehingga keadaan kelihatan amat tidak terkawal,terutamanya yang menyentuh sensitiviti orang Melayu dan Islam sendiri.

Perubahan arah pemikiran dan persepsi rakyat ini dieksploitasikan oleh berbagai-bagai pihak,terutamanya oleh ahli politik yang mencari keuntungan peribadi,para racist yang sekian lama memperjuangkan kaum dan budayanya,dan kalangan yang sekian lama memperjuangkan ideologi politik sempit mereka untuk dipaksakan menjadi dasar pemerintahan yang selama ini tidak diterima oleh rakyat umum.

Alasan mereka kelihatan agak meyakinkan,iaitu kerana kepincangan yang mereka andaikan itulah yang kononnya menyebabkan rakyat majoriti tidak memilih parti BN yang selama ini menguasai negara,sedangkan faktor-faktor lain tidak mereka ketengahkan sama sekali,malah kalau boleh haruslah dipendamkan supaya tidak timbul sedikit pun.

Sebenarnya,kekalahan di dalam pilihan raya tidaklah boleh diterjemahkan secara yang amat simplistik.Saya rasa keputusan pilihan raya yang berdasarkan persepsi palsu yang dihebohkan-hebohkan sekian lama sebelum menjelang pilihan raya lagi,sehingga mempengaruhi orang awam,tidak boleh dijadikan ukuran bahawa orang atau parti yang memenangi pilihanraya itu merupakan orang atau parti yang lebih baik.

Rasulullah SAW ketika mula diutus oleh Allah SWT untuk memimpin manusia ke jalan yang benar itu pun dianggap sebagai orang yang gila,ahli sihir dan penyair oleh para musuhnya dan kalangan pihak tradisionalis yang mahu mempertahankan adat dan tradisi lama mereka.Sekiranya kita mengandaikan pada ketika itu diadakan pilihanraya untuk memilih pemimpin tertinggi di dalam masyarakat itu,mungkin mereka sebagai pengundi fanatik melulu tidak akan memilih Nabi Muhammad sebagai pemimpin mereka.

Sebab itulah juga ketika proses pemilihan khalifah selepas kewafatan baginda,maka pemilihan itu tidak dilakukan secara terbuka kepada umum,malahan suatu lembaga pemilih yang terdiri daripada bijak pandai saja yang membuat pilihan.

Oleh itu persepsi rakyat umum tidaklah seharusnya menjadi ukuran mutlak sehingga dengan itu kita dapat terus membuat kesimpulan begitu dan begini,terutamanya sekiranya hal itu ditafsirkan secara melulu mengikut kepentingan yang tertentu,oleh pihak-pihak yang tertentu.

PERCUBAAN

Malah di dalam pilihan raya yang lalu,pengundi masih menaruh kepercayaan kepada calon-calon UMNO yang selama ini dianggap sebagai parti yang sederhana.Jadi kenapa pula kesalahan harus dibebankan kepada orang Melayu,terutamanya jika dilihat kepada perangkaan orang Melayu yang menjadi anggota parti politik,bukan semua orang Melayu berada di dalam suatu parti yang tertentu.Banyak lagi orang Melayu yang tidak menjadi anggota mana-mana parti.
Oleh itu,percubaan untuk mengubah persepsi umum tentang dasar negara mengenai hak keistimewaan orang Melayu,DEB dan isu-isu agama yang dianggap tidak demokratik dilakukan.
Ia harus dibangkitkan secara telus dan terus terang tanpa menghiraukan sensitiviti kaum dan agama lagi.Ia akhirnya mengakibatkan ahli politik Melayu sendiri melatah dan mengeluarkan reaksi spontan tentang dasar undang-undang,biasiswa,ekonomi dan sebagainya,seolah-olah kempen reversed psychology yang dilancarkan dengan hebat itu,benar-benar menjadi perangkap yang memerangkap ahli politik Melayu itu sendiri.


Oleh itu tidak hairanlah dalam keadaan ini akan timbul satu dua ‘kambing hitam’ yang memberi reaksi penuh emosi terhadap perkembangan mutakhir yang dianggap melampaui batas-batas keharmonian kaum dan agama yang menyebabkan mereka bertindak liar sebagai reaksi terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan melampau daripada orang lain untuk merampas haknya.

Hal inilah yang berlaku apabila Majlis Peguam menganjurkan forum mengenai ‘Memeluk Islam’.Orang-orang merasakan bahawa kaum dan agamanya tercabar dengan begitu hebat akan bertindak dengan keras,walaupun tindakan itu sebenarnya agak keterlaluan pada pandangan umum.Contohnya,apabila seorang ahli PKR yang bertindak menentang forum itu dianggap tidak mematuhi disiplin parti sedangkan ia bertindak atas sifatnya seorang Muslim dan suara emosional yang timbul dari Bukit Bendera mengenai pendatang di negara ini yang mendapat sokongan semua bahagian UMNO Pulau Pinang.

Sebab itulah di atas,saya tegaskan bahawa aksi dan reaksi haruslah diberikan pertimbangan yang sewajarnya sebelum menghukum mana-mana pihak yang terlibat.Kita tidak mahu menjadi seperti kes rakyat Palestin yang teraniaya dan tertindas,yang akhirnya mereka pula dianggap bersalah dan patut dihukum,sedangkan pihak lain yang lebih kejam dijulang sebagai wira.
Oleh itu kita rakyat Malaysia,dari sebarang kaum dan keturunan,haruslah segera kembali kepada dasar dan sejarah penubuhan dan pembangunan negara kita yang selama ini menjadi contoh terbaik kepada dunia sebagai negara yang stabil dan aman damai.Keutuhan kepimpinan negara kita telah dapat mengawal negara ini dengan baik.Oleh itu,kita tidak mahu rakyat di negara ini menjadi seperti anak ayam kehilangan ibu.