Perkembangan politik negara selepas pasca Pilihan Raya Umum ke-12 menyaksikan pelbagai perkara yang sepatutnya tidak menjadi pertikaian kini mula dipersoalkan.Satu demi satu perkara yang berkaitan dengan orang Melayu dan umat Islam terus menjadi sasaran pihak tertentu terutama parti pembangkang dalam usaha kononnya untuk mewujudkan kesamarataan antara kaum di negara ini.
Akibatnya, apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula menjadi sasaran serangan, malah demi kepentingan politik, parti-parti pembangkang terutamanya Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus melakukan tindakan yang cenderung kearah menggugat apa yang sudah ditentukan oleh Perlembagaan.Antara yang paling menjadi sasaran ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak-hak keistimewaan orang Melayu.Kononnya atas menegakkan prinsip kesamarataan dan keadilan,peruntukan ini cuba diganggu gugat.Tanpa mahu menoleh kepada sejarah pahit getir mewujudkan perkara 153,desakan terus ditujukan seolah-olah mahu menjadikan peruntukan ini hanya menjadi catitan sejarah.
Perkara 153 bukan sebarangan peruntukan dalam Perlembagaan,malah ia menjadi tonggak utama dalam penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).Justeru,sebarang usaha untuk menghapuskan DEB sama seperti ‘membunuh’ perkara 153 yang memberi peruntukan istimewa kepada orang Melayu.
Kaitan
Penggubalan DEB dicetuskan pada era Tunku Abdul Rahman.Ini adalah suatu permulaan perjuangan ekonomi bangsa setelah 450 tahun di dalam sejarah ketamadunan Melaka.
Melaka pada ketika itu merupakan suatu tamadun yang cemerlang.Ia adalah usaha bagi menterjemahkan satu kehebatan Melayu menjadi tamadun yang diikhtiraf oleh ahli-ahli sejarah dunia.
Perjuangan ekonomi di Melaka bermula apabila orang Melayu menunjukkan kebolehan dengan mentranformasikan sebuah kampung nelayan yang kecil di muara sungai Melaka menjadi suatu bandar kemakmuran yang mampu menarik pelabur-pelabur di rantau ini dan luar sehingga ke Timur Tengah.
Tidak mungkin orang Melayu dapat menjadikan Melaka sebuah kuasa penakluk dan pusat ilmu kecuali kebolehan orang Melayu mengeluarkan pemimpin,pengurus,dan pekerja yang baik-inilah yang menyusun sesebuah tamadun.
Apabila kalah pada Portugis pada tahun 1511,kita lihat orang Melayu mula dipinggirkan dengan tinggal di kampung-kampung dan mengusahakan aktiviti yang kurang produktif.
Oleh kerana ketika itu sistem feudal diamalkan,orang Melayu tidak mampu jadi produktif kerana kerana hasil mereka sebahagian besarnya terpaksa diberikan kepada raja dan bangsawan.Akibatnya,mereka jadi miskin dan papa kedana.
Hanya pada zaman Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein,penggubalan terhadap DEB dibuat atas kefahaman bahawa adanya perkara 153 dalam Perlembagaan yang memberikan hak istimewa orang Melayu.Peruntukan itu termasuklah dari segi pemberian permit,biasiswa,agama Islam,bahasa kebangsaan dan kedaulatan raja-raja Melayu.
Semua itu telah mendorong DEB digubal.Langkah mewujudkan DEB itu bertujuan bagi memastikan pembelaan terhadap orang miskin yang selama 450 tahun tertekan di bawah tapak kaki penjajah.
Atas sebab itulah dalam sejarah moden Malaysia,perjuangan ekonomi bangsa bermula apabila DEB digubal.Ini kerana DEB bertunjangkan pembanterasan kemiskinan dan juga penyusunan semula masyarakat.Ia wujud daripada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan ia mampu dipertahankan biarpun menghadapi pelbagai cabaran dan kecaman daripada pihak tertentu hari ini.
Pengikhtirafan kepada Pribumi
Mungkin ada yang bertanya kenapa Melayu jadi penduduk asal?Kenapa tidak orang Asli yang lebih awal tidak diikhtiraf sebagai memulakan tamadun?Mengikut pengukuran sejarah sesuatu bangsa itu kebolehan mewujudkan tamadun akan menjadi asas pengikhtirafan.Dari segi sejarah,pengikhtirafan pribumi diberikan kepada orang Melayu kerana kita terawal,biarpun ada orang Asli.Ini kerana mereka tidak mewujudkan ketamadunan.
Dalam mewujudkan perkara 153 dalam Perlembagaan,ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.Perjuangan mewujudkan Perlembagaan Malaysia yang di dalamnya terkandung perkara 153 ialah perjalanan sejarah yang lebih jauh daripada ketika wujudnya kumpulan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pentadbiran daripada Dato’ Onn Jaafar.
Ia lebih awal kerana Tunku muncul di penghujung.Apa yang ingin saya katakan,perjuangan untuk mewujudkan perkara 153 ini sudah wujud sejak zaman komunis lagi.Inilah cabaran pertama.Apabila Bintang Tiga keluar dari hutan ia adalah permulaan kepada suatu usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara republik.
Bintang Tiga telah membunuh orang Melayu kerana disyaki bersubahat dengan Jepun.Kemudian apabila Bintang Tiga sudah membalas dendam dia berhasrat untuk mengisi kekosongan pemerintahan negara ini.Maknanya,langkah itu bakal memberi pengikhtirafan yang sama rata kepada orang Melayu,Cina,dan India.Walaupun Bintang Tiga ditentang keras namun masih berjaya juga mempengaruhi segelintir orang Melayu.
Seandainya republik diwujudkan maka dengan sendirinya Perkara 153 tidak akan wujud.
Malang dalam usaha itu,orang yang sama menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi dengan babak yang berbeza.Inilah cabaran kedua kepada orang Melayu kerana matlamat PKM sama iaitu menjadikan Malaya sebuah republik.Darurat terpaksa diisytiharkan dari tahun 1946 hingga 1960.
Perbuatan PKM ini adalah suatu pukulan kepada sistem politik yang berasaskan kepada Keluhuran Perlembagaan yang mana perlembagaan itu mempunyai suatu peruntukan yang memberi pengikhtirafan kepada penduduk pribumi.Ribuan warga keselamatan kita gugur sepanjang darurat tersebut,dan mereka ini bukannya mati katak.Mereka mati untuk mempertahankan Malaya yang harus dibentuk dengan Perlembagaan tertentu yang mana ia memberikan pengikhtirafan kepada pribumi.
Titisan darah wira-wira yang terkorban harus dikenang dengan pengikhtirafan tersebut.Kita mesti menghargai pengorbanan mereka yang akhirnya membawa kepada kemerdekaan.Orang ini menjadi asas yang membolehkan pemimpin-pemimpin bergerak untuk mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu merdeka.
Siapa mereka ini,jarang sekali atau tidak pernah disebut.Walaupun mereka dilihat berjuang demi mempertahankan kedaulatan Malaya,tetapi di jiwa sanubari mereka ialah untuk melihat kewujudan sebuah Malaya yang mana Melayu menjadi tonggaknya.
Cabaran ketiga yang dihadapi oleh DEB berkaitan perkara 153 ialah apabila British cuba mewujudkan Malayan Union.Ia sebenarnya suatu konsep republik sebagaimana yang diperjuangkan oleh PKM dan Bintang Tiga.Sebab itulah dalam Malayan Union,terdapat peruntukan untuk memberi hak kerakyatan berdasarkan jus soli-ertinya siapa saja yang berpijak di bumi Malaya maka ia akan menjadi rakyat Malaya.
Menggugat
Gabenor British pada ketika itu mempengaruhi Dato’ Onn Jaafar untuk memastikan parti UMNO yang menggabungkan kekuatan orang Melayu itu dapat dibendung.British mempengaruhi Dato’ Onn dan mendesak beliau supaya UMNO mesti membuka keahlian kepada bukan Melayu.Secara harfiahnya,dengan berbuat demikian bererti menerima Malayan Union.British menjalankan satu politik yang memperalatkan Dato’ Onn Jaafar melalui platform UMNO.
Konsep Malayan Union ini sama seperti mana konsep yang diperjuangkan oleh PKM dan Bintang Tiga.Gabenor British memberi syarat kalau Dato’ Onn ingin melihat Tanah Melayu merdeka,orang lain harus mempunyai hak yang sama dengan orang Melayu.
Pendekatan ini juga cuba membuka keahlian UMNO pada masa itu kepada orang bukan Melayu supaya UMNO menjadi landasan untuk memilih kemerdekaan melalui gagasan Malayan Union.
Tetapi,apabila orang Melayu tahu bahawa sekali lagi kedudukan raja tidak dihormati,hak keistimewaan orang Melayu tidak dihargai dan soal agama dipinggirkan maka mereka menolak idea tersebut dan Dato’ Onn Jaafar.Semua itu adalah cabaran ketiga dalam mempertahankan Perkara 153.
Ini adalah hasil pengorbanan Orang Melayu;orang Melayu ditindas selama 450 tahun,orang Melayu kena bunuh bersubahat dengan orang Jepun dan Bintang Tiga,dan kemudiannya diperkudakan British dengan cubaan memanipulasikan UMNO.
Malaysian Malaysia
Ini merupakan cabaran keempat didalam usaha mempertahankan perkara 153.Ia berlaku apabila Lee Kuan Yew yang menubuhkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan konsep Malaysian Malaysia.-konsep ini sebenarnya dijenamakan semula kerana matlamatnya sama iaitu menjadikan Malaysia sebuah negara republik.
Ertinya,mereka tidak dapat menerima kewujudan Perkara 153,apabila mereka berbuat demikian bermakna mereka tidak dapat menerima DEB.PKR kata hendak ganti DEB kepada Agenda Ekonomi Malaysia.
Jika dikaji, Kuan Yew pada masa itu menggempur kekuatan UMNO dan Perikatan di Semenanjung.Kedudukan itu menyebabkan orang Melayu tercabar buat kali keempat dalam sejarah kita.Apa yang dikemukakan Kuan Yew pada masa itu disokong oleh semua orang Cina Singapura dan jika ia disokong oleh orang Cina Semenanjung,Sabah dan Sarawak mungkin falsafah Malaysian Malaysia itu bakal menjadi kenyataan.
Kini kita cuba menempuh cabaran kelima apabila secara terang-terangan konsep Malaysian Malaysia atau konsep ’sama rata sama rasa’ cuba diperjuangkan oleh pembangkang.Dengan menjadikan perkara itu sebagai tonggak kenegaraan,bererti Melayu tidak lagi menjadi tonggak.
Dalam sejarah dunia tidak ada banyak negara dalam tempoh 30 tahun boleh mentransformasikan negara kepada keadaan yang lebih elok.Terlalu banyak negara yang mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia terus dicengkam dan diabdikan oleh kuasa besar dunia.
Langkah Terbaik
Kita perlu memperkukuhkan ekonomi negara ini.Ia kerana ekonomi menjadi ukuran kekuatan dan maruah sesebuah negara.Lihatlah Singapura, saiznya mungkin sama besar dengan negeri Melaka tetapi saiz ekonominya sama dengan saiz ekonomi Malaysia.Begitu juga dengan Jepun berbanding China.Semua ini didorong oleh saiz ekonomi.
Kita melihat bahawa pembangkang menganggap dengan adanya perkara 153 dan DEB ia adalah suatu unsur yang mengukuhkan dominasi orang Melayu dalam sistem politik kita.Sejarah telah meletakkan Perlembagaan kita yang dalamnya ada Perkara 153 dan dari situ melahirkan DEB yang membawa pembelaan kepada orang miskin,daif dan terhina ini.Peminggiran golongan ini yang dilakukan sejak 1511 telah meningkat pada tahap yang begitu hebat.Walaupun sama-sama naik tetapi masih banyak lagi lompang antara kaum, jurang antara bandar dan luar bandar.
Pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) melihat ada bukti-bukti yang boleh dieksploitasi kerana perjuangan orang-orang dulu melahirkan satu perlembagaan yang ada perkara 153.Selagi DEB yang mentransformasikan golongan miskin ini menjadi kumpulan sederhana dan makmur terus wujud, selagi itulah tiada parti yang dapat menggantikan UMNO.Maknanya,dominasi Melayu dalam sistem politik kita akan kekal sampai bila-bila.
Strategi pembangkang ialah,mesti memperlekehkan DEB dan mengubah dasar ini supaya jangan menjadi suatu pembuktian yang kuat bahawa perjuangan kita memberi kerakyatan kepada bukan Melayu ini dapat diketepikan untuk membolehkan pembangkang mendominasikannya.
Mereka menggunakan alasan kononnya globalisasi dan nilai-nilai universal, ini telah banyak mempengaruhi golongan muda kita yang buta tentang laluan sejarah. Kalau kita sendiri tidak memberikan penghargaan terhadap pejuang-pejuang terdahulu yang gugur bagi membolehkan pembentukan asas Perlembagaan,generasi muda kita akan mudah dipengaruhi.Itulah sebenarnya rasional penggantian DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia.
Agenda Ekonomi Malaysia ini harus ditolak.Filosofi dalam agenda itu ialah memberi pengikhtirafan kepada semua kaum dengan metodologi yang bertentangan dengan DEB.DEB lebih kepada status sosial sesuatu kaum.
Kalau populasi bumiputera 65 ,peratus haknya lebihlah dengan kaum yang 25 peratus atau dengan yang tujuh peratus.Kita mestilah mengikut keadilan kependudukan.Tetapi asas Agenda Ekonomi Malaysia ialah pengagihan yang sama rata.Itu bukan keadilan tetapi kesamarataan yang diasaskan oleh agenda berkenaan dengan DEB.
Penutup
Perkara ini perlu disebutkan supaya rakyat Malaysia faham akan laluan dan rentetan sejarah.Dalam memahami cita-cita untuk lebih makmur dan berilmu, pada masa yang sama kita telah lupa pengorbanan golongan terdahulu terutama wira-wira kita dan orang Melayu yang telah banyak berkorban dan terkorban dalam menegakkan Perlembagaan ketika itu.
Seharusnya ada satu penghargaan terhadap apa yang telah kita buat pada masa yang lalu tentang cita-cita, pengorbanan dan titisan darah sehingga Tunku Abdul Rahman berjaya menuntut tarikh kemerdekaan kita pada 31 Ogos 1957.Jika kita tahu laluan sejarah,kontrak sosial dan DEB sudah pasti tidak akan jadi persoalan.Tetapi kini,bukan sahaja debat yang berlaku tetapi nak menghapuskan kedudukan.
DEB bukanlah bertujuan menindas kaum lain sebaliknya untuk membela mereka yang lemah tanpa mengira kaum.Kebetulanlah pula,banyak yang lemah dan miskin itu adalah orang Melayu.Justeru,ideologi bawaan pembangkang ini harus difahami oleh rakyat Malaysia yang rasional dan mempunyai kebijaksanaan dalam membuat keputusan.
Tetapi mengapa pula sokongan orang Melayu kini kelihatannya diberi kepada pembangkang?Mungkin mereka tidak tahu sejarah,atau mungkin juga tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku ketika ini.Orang ini lebih mudah dikembalikan kefahaman dan penghayatan bagaimana kita harus membina semangat patriotisme berasaskan kepada kronologi sejarah yang jelas.
Akhir kata,kita harus menghargai sejarah mengenai betapa susahnya menghadapi keganasan dan kepayahan untuk menegak apa yang ada pada hari ini yang telah teruji sejak 51 tahun kita merdeka.
2 comments:
hebat benar posting niee..
aku setuju dengan pendapat ko....
bukan kita nak menjadi racist kepada bangsa lain tapi kita cuba mempertahankan ape yang sepatutnya menjadi milik kita dan telah dipersetujui secara bersama.
aku percaya bangsa lain juga mengiktiraf perkara ini namun amat menyedihkan apabila pihak pembangkang membangkitkan hal ini lalu menyebabkan sentimen perkauman kembali berapi
Biasa la bro....kalau tak faham sejarah di Malaysia ni,inilah yang terjadi.
Post a Comment