Wednesday, November 5, 2008

Corat-Coret

Wajarkah matapelajaran Sains dan Matematik diajar semula di dalam Bahasa Melayu?Ataupun dikekalkan medium pembelajaran dalam Bahasa Inggeris?

-Realitinya,Bahasa Inggeris adalah bahasa sains dan teknologi dan penguasaannya adalah sangat penting terutama di zaman globalisasi ini.

-Para pelajar lambat-laun akan juga belajar subjek berkaitan sains dan matematik di peringkat kolej dan universiti,di dalam Bahasa Inggeris.Persoalan timbul apabila pembelajaran di dalam Bahasa Melayu pada peringkat awalnya terbuang begitu sahaja,dan tidak digunapakai dalam amalan pekerjaan.

-Peluang pekerjaan dalam bidang sains dan teknologi yang terhad dan kompetitif kini mengehadkan kepada individu yang benar-benar berdaya saing sahaja.Penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap adalah salah satu dari kriteria yang tersebut.Permulaan yang awal yakni di peringkat sekolah rendah diyakini mampu menyediakan para pelajar dengan kriteria tersebut.

-Bahasa Melayu sendiri terpaksa mengimpot terminologi-terminologi daripada Bahasa Inggeris untuk menerangkan fakta-fakta dan konsep sains.Contoh yang paling mudah,perkataan Inggeris dimelayukan dengan menambah ‘si’ dihujungnya seperti perkataan “aplikasi” dari “application”.Ini juga salah satu isu lain yang dibangkitkan oleh pakar-pakar bahasa Melayu apabila terlalu banyak perkataan yang terpaksa dicedok dari bahasa asing yang lain dan ini dikhuatiri akan “merosakkan” keaslian Bahasa Melayu dalam tempoh masa yang panjang.Langkah seperti menterjemahkan perkataan Inggeris secara langsung kepada Bahasa Melayu (seperti “joystick” kepada “kayu ria” ) juga dilihat bukan penyelesaian yang sesuai.

-Langkah ini (pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu) dilihat bertujuan untuk memartabat dan menaikkan imej Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.Tetapi pada pendapat saya,ia mungkin tidak perlu kerana perkara-perkara yang telah disebut di atas.Langkah lain yang dilihat sesuai untuk tujuan tersebut termasuklah mengajar subjek berkaitan kesusasteraan Melayu secara khusus berbanding Komponen Sastera (KOMSAS) yang diajar di dalam subjek Bahasa Melayu pada masa sekarang.Orang Melayu perlulah sedar akan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan harian di samping menyeimbangkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua serta bahasa sains dan teknologi.Dalam erti kata yang lain, “Berbahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan orang Malaysia (termasuklah dengan orang Cina dan India),dan berbahasa Inggeris dengan orang asing”.


Bagaimana pula pendapat anda?Fikir-fikirkanlah sendiri.

No comments: