Saturday, November 29, 2008

Berdepan soalan golongan tak mahu berdakwah 2

Soalan 2:

Dari kita memikirkan cara-cara hendak mengatasi murtad, atau cara-cara nak memerangi dakyah Kristian atau Yahudi, lebih baiklah kita fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang. Kerana itulah akarnya. Bila akar dah kuat, insyaAllah pokok yang tumbuh pun kuat berdiri.

Jawapan:

Fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang dan sebagainya adalah menjadi kewajipan kepada ibubapa. Jadi perkara ini tidak perlu dipersoalkan. Tapi cuba kita tanya pada diri kita, sejak akhir-akhir ini adakah kes murtad di Malaysia semakin kurang atau semakin bertambah? Kemudian cuba kita tanya pada diri kita, adakah selama ini pengajian di surau, masjid, sekolah, IPT, TV dan radio tidak dilakukan oleh orang yang sepatutnya? Jawapannya sudah semestinya pengajian-pengajian ini wujud dan ianya berterusan dan tidak pernah putus, malah ia memang patut diteruskan sampai kiamat. Tetapi, kenapakah dalam keadaan pengajian-pengajian ini tidak pernah dihentikan, tiba-tiba sahaja kes-kes murtad di negara kita semakin menjadi-jadi?

Sudah tentu banyak puncanya. Antaranya adalah seperti yang telah dinyatakan di dalam pengenalan di atas tadi iaitu disebabkan usaha "dakwah" orang Kristian yang meyakini "aqidah" mereka dan ingin "menyelamatkan" umat bukan Kristian termasuklah umat Islam dari api neraka!

Jadi,andainya “SETIAP” ibubapa Muslim lakukan apa yang sepatutnya, iaitu "fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang (beserta roh-roh di dalamnya)", maka InsyaAllah masalah yang sedang melanda kita di Malaysia ini tidak seteruk sekarang. Tetapi apakah realitinya? Adakah kita masih "HANYA" perlu menyebut ayat yang sama (fokus pada mengajar anak-anak kita mengaji, sembahyang) sedangkan realitinya "orang-orang kita" semakin ramai yang "bertukar angin"?

Bukankah golongan yang mengkaji agama mereka diperlukan (pada 10-20 tahun lepas mungkin usaha mengkaji ini tidak diperlukan) sebagaimana yang mereka lakukan terhadap agama kita sejak sekian lama di Malaysia?

No comments: