Wednesday, March 10, 2010

Jangan Pernah Putus Asa

Insya Allah, pada besok hari, Khamis 11 Mac 2010, keputusan SPM 2009 akan diumumkan. Tarikh ini bagi mereka yang berkenaan, sememangnya amat dinanti-nantikan. Pelbagai persoalan seperti, berjayakah mereka mendapat keputusan yang cemerlang, mampukah keputusan ini menjamin biasiswa ke luar negara dan kemana pula hala tuju selepas ini sudah pastinya bermain di dalam fikiran masing-masing.

Bagi mereka yang sudah ditakdirkan mendapat keputusan yang cemerlang, Alhamdulillah dan tahniah diucapkan.Banyakkanlah memanjatkan kesyukuran serta memuji Allah S.W.T yang telah memberikan nikmat ini kepada mereka.Namun demikian, jalan sebenarnya masih lagi jauh dan banyak lagi halangan yang perlu ditempuhi. Ada sahaja yang cemerlang di dalam SPM namun akhirnya kecundang di tengah jalan. Jadikan kejayaan ini sebagai permulaan yang baik di dalam mengharungi "stage" yang berikutnya. Saya tertarik dengan status facebook salah seorang rakan saya, Mohd Ikhwan Ahmad Zaki yang berbunyi;

Tiada guna semua A plus dalam peperiksaan percubaan dan sebenar SPM, tapi kebejatan akhlak. Hilang nilai hormat kepada ibu bapa, dan orang yang lebih tua. Memandang orang lain mungkin sebagai sampah, kerana rasa diri lebih hebat ilmu. Akhirnya orang sebegini terus disesatkan Allah dengan kepandaian ilmu ukuran dunia semata-mata.


Memang benar.Kadang-kadang nikmat yang diberikan Allah itu sebenarnya hanya untuk menguji seseorang itu sama ada dia sentiasa istiqamah dalam mengejar keredhaan Allah, ataupun terus lupa daratan.Mudah-mudahan kita dijauhkan dari perkara yang sedemikian.Seperti kata yang pernah diucapkan oleh Sheikhul Islam, Ibnu Taimiyyah;

Suatu kesulitan yang menjadikan kamu kembali kepada Allah adalah lebih baik dari suatu kesenangan yang menyebabkan kamu lupa kepada Allah

Kepada mereka yang tidak bernasib baik, mereka boleh sedih dan kecewa tapi jangan sekali-kali berputus asa. Jatuhnya kita itu bukanlah suatu kekalahan total, tetapi kekalahan itu sebenarnya terjadi jika kita tidak bangun-bangun dari kegagalan tersebut.Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Inshirah ayat 5-6;

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.(Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Dua kali Allah mengulangi janji-Nya dan Allah tidak pernah sekali-kali memungkiri janji-Nya.
Percayalah bahawa Allah telah menentukan yang terbaik bagi kita kerana Allah berfirman di dalam surah Baqarah ayat 216 yang bermaksud;

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui"



Selamat mengambil keputusan SPM 2009 kepada semua yang berkenaan.Barakallahu feekum wa fi amanillah.

No comments: