Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Hari ini ialah hari terakhir saya di Wellington sebelum bertolak balik ke Palmerston North besok. Jadi ingin saya kongsikan sedikit gambar-gambar yang telah saya rakamkan sepanjang seminggu berada di ibu negara New Zealand ni.
Isnin 9hb April
Saya bertolak ke Wellington dengan menaiki bas. Kelihatan agak ramai yang menaiki bas ke Wellington sehingga ada 3 bas dari beberapa bandar berhenti rehat di Palmerston North pada masa yang sama. Ini disebabkan oleh cuti Easter pada hujung minggu tersebut dan ramai yang bergerak pulang ke Wellington untuk kembali bekerja setelah bercuti. Ini menyebabkan kesesakan lalu lintas dari Palmerston North hingga ke Wellington (suasana yang lebih kurang sama dengan di Malaysia apabila cuti perayaan etc).
Sementara menunggu bas.
Alhamdulillah saya sampai di Wellington dengan selamat walaupun terlewat lebih kurang sejam. Saya tinggal di rumah salah seorang kenalan di kawasan suburb Johnsonville.
Selasa 10hb April
Paginya saya ke pusat bandar kerana ingin menghantar barang yang saya jual online kepada pembeli. Jadi sambil-sambil tu saya bawak jugak kamera saya untuk shooting street.
Ape cite yob?
Pada sebelah petangnya saya dan rakan saya pergi ke Makara Beach yang terletak dalam sekitar 45 minit drive dari rumah di Johnsonville. Setibanya kami di sana, kami perlu berjalan selama 15minit untuk ke spot yang sesuai. Alhamdulillah walaupun mendung pada hari tersebut kami masih dapat mengejar sunset kerana awan agak kurang di sekitar kawasan horizon.
11 April 2012
Mendung dan hujan pada petangnya, jadi tiada sunset. Kami ke Island Bay yang terletak berhampiran dengan lapangan terbang antarabangsa Wellington. Setelah hujan reda, saya pun memanjat batu-batu besar di sekitar Island Bay tersebut untuk mencari spot yang sesuai. Jadi ini hasilnya :
12 April 2012
Cuaca pada petang ini lebih baik dari hari semalamnya. Jadi kami ke Porirua untuk mengejar sunset di Rocky Bay yang berhampiran dengan kawasan pantai Titahi Bay. Untuk ke Rocky Bay ini kami perlu berjalan merentasi paya dan celahan batu2 yang tinggi dan rugged serta beberapa buah gua untuk sampai di lokasi. Berikut ialah beberapa gambar yang dapat saya rakamkan di sini.
13 April 2012
Cuaca terbaik sepanjang minggu ini jadi kami ke Moa Point berhampiran dengan kawasan lapangan terbang Wellington. Di sini merupakan tempat terbaik bagi mereka yang nak tengok kapal terbang landing di airport, dan juga feri antara pulau (Interislander) bergerak menuju destinasi.
Saya mencuba teknik black card / magic cloth untuk gambar di bawah ni. Oleh kerana lens saya tidak boleh dipasangkan filter, jadi saya terpaksa menunggu sehingga hari gelap untuk mencuba. Secara umumnya teknik ini dilakukan seperti berikut:
1) Gunakan spot metering.
2) Ambil bacaan background (dalam kes ini, 2 saat).
3) Ambil bacaan foreground (dalam kes ini, 20 saat).
4) Jadi masa yang diperlukan untuk saya menutup bahagian background dengan black card ialah 20-2 = 18 saat.
5) Saya menutup bahagian background selama 18 saat dan mengipas2kan sedikit untuk mengurangkan kesan garisan yang akan muncul sekiranya tidak dibuat.
Dan ini hasilnya. Saya terpaksa mencuba beberapa kali untuk mendapatkan exposure yang baik seperti dalam gambar di bawah.
14 April 2012
Rancangan asalnya ialah untuk ke Castlepoint yang terletak kira-kira 130km dari Wellington. Kami bertolak dari rumah pada jam 2.30 pagi, akan tetapi kereta yang kami naiki mengalami sedikit masalah pada enjin. Walaupun berjaya diselesaikan, kami memutuskan untuk berpatah balik kerana pada waktu itu kami sudah pun terlewat untuk mengejar sunrise di sana.
Kereta yang tersadai di tepi jalan.
Dalam perjalanan pulang itu, timbul satu cadangan dari salah seorang rakan kami iaitu untuk pergi ke Wainuiomata Coast yang terletak berhampiran. Perjalanan mengambil masa kira-kira setengah jam. Cuaca pada waktu mendung serta angin kencang (dan hujan turun semasa perjalanan pulang). Oleh yang demikian, saya mencuba nasib dengan teknik long exposure untuk mengambil gambar.
Ombak pula agak tinggi dan ganas menghempas pantai jadi saya tidak berani untuk mengambil gambar berhampiran dengan gigi air.
Angin kencang menyukarkan unggun api untuk dihidupkan.
Sekali pandang, cahaya terang di sebalik bukit dalam gambar ini kelihatan seperti cahaya matahari terbit padahal sebenarnya ia adalah cahaya dari kawasan bandar berhampiran.
Saya terpaksa mencuba beberapa kali untuk komposisi ini kerana ombak besar yang datang menyebabkan saya terus mencabut kamera dari tripod dan bergegas ke kawasan yang lebih selamat.
Gambar ini hampir saja saya buang kerana terlalu gelap tetapi Alhamdulillah ia berjaya di cover kembali kerana saya shoot dalam format RAW.
Kami kembali ke rumah dan berehat sebelum keluar semula ke Red Rocks pada petangnya untuk mengambil gambar sunset. Semasa perjalanan, kelihatan ombak yang cukup besar dan tinggi yang memukul pantai. Ramai juga orang yang datang pada ketika itu untuk bermain luncur ombak serta perahu layar.
Gambar di Red Rocks.
15 April 2012
Kami kembali ke Makara Beach pada petang harinya. Kelihatan air pasang dan naik tinggi sedikit berbanding semasa kali pertama kami ke sini. Cuaca agak baik menjelang senja, tetapi kembali mendung apabila tiba waktu Maghrib.
16 April 2012
Hari terakhir untuk mengambil gambar. Kami memutuskan untuk ke Mount Kaukau yang terletak berhampiran dengan rumah. Untuk ke puncak, kami perlu berjalan dan mendaki lereng bukit selama lebih kurang sejam sebelum tiba. Pemandangan di atas puncak Mount Kaukau sangat cantik di mana kami boleh lihat sebahagian besar dari kawasan bandaraya Wellington serta sebahagian dari kawasan utara South Island.
Pendakian selama sejam lebih mengingatkan saya kepada pendakian ke puncak Broga Januari yang lepas. Cukup memenatkan tapi amat berbaloi setelah sampai ke puncak.
Sebahagian dari bandar Wellington dapat dilihat dari sebelah kiri gambar
Kawasan windfarm dan juga sebahagian dari South Island.
Bangku tempat melepaskan lelah setelah pendakian selama sejam ke sini.
Malam mula menjelang dan kawasan sekitar mulai gelap, jadi kami berjalan pulang ke rumah. kami perlu berhati-hati semasa menuruni lereng bukit kerana terdapat banyak lubang dan batu-batu yang boleh menyebabkan kemalangan. Dalam perjalanan pulang itu saya sempat berhenti sebentar dan mengambil gambar ini. Ia merupakan gambar vertorama dari tiga keping gambar menunjukkan peralihan waktu siang kepada malam.
Kelihatan planet Zuhrah pada bahagian bawah kanan gambar serta nebula pada bahagian kiri atas gambar.
Pemburuan Milky Way Yang Tidak Dirancang.
Atas ajakan kawan, kami ke Seatoun pada tengah malam itu untuk mengambil gambar bintang-bintang. Cuaca yang cukup baik serta pencemaran cahaya yang kurang di kawasan itu memberikan keberhasilan yang baik terhadap gambar-gambar yang saya rakamkan ini.
Alhamdulillah, kedua-dua gambar ini berjaya mendapat "Flickr Explore" pada hari yang sama.
Pulang ke Palmerston North.
Alhamdulillah, saya bertolak pulang ke Palmerston North keesokan harinya dan selamat sampai di rumah. Syukur kepada Tuhan kerana memberikan saya peluang untuk merakam kehebatan ciptaan-Nya pada kali ini. Terima kasih tidak terhingga di ucapkan kepada saudara Fuad dan Dr. Rosli sekeluarga yang sudi menerima saya sebagai tetamu di rumah mereka selama seminggu saya di Wellington ini.
Insya Allah, saya akan ke South Island pada cuti musim sejuk ini untuk merakamkan pemandangan di sana pula.
Sekian, terima kasih.