Seringkali kita dengar kebelakangan ini,manusia sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat.Tidak kira di peringkat sekolah mahupun hingga ke peringkat pimpinan negara,kita memandang jawatan sebagai suatu bentuk kelebihan ataupun aset kepada diri kita untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan yang lain seperti harta dan populariti.
Hakikatnya,menjadi seorang pemimpin secara automatiknya kita telah membuat perjanjian dengan Allah S.W.T untuk memegang amanah dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.Dan ini bermaksud seorang pemimpin perlu menjadi contoh kepada mereka yang dipimpin.
Firman Allah dalam Surah As-Saff,ayat 2-3 :
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Setiap pemimpin perlu mempunyai kualiti sebagai orang yang mampu menjadi contoh dan ikutan.Sekiranya mahu menghapuskan rasuah,maka perlu bebas dari sebarang anasir rasuah.
Jika mahu mengajak ke arah meningkatkan ilmu pengetahuan, maka pemimpin perlu menjadi role model.
Ikutilah contoh terbaik kita, iaitu Rasulullah S.A.W.Bila mana Aisyah R.A. ditanya mengenai budi pekerti Rasulullah,maka Aisyah menjawab, "Akhlak Rasulullah S.A.W. ialah Al-Quran." Ini bermaksud, segala bicara, perlakuan, dan cara hidup Rasulullah adalah manifestasi daripada ajaran Al-Quran.
Sebagai seorang pemimpin, Rasulullah sentiasa berjuang menegakkan kebenaran biarpun berdepan pelbagai cabaran.Baginda menolak semua tawaran kekayaan dan pangkat serta sentiasa bersedia untuk mempertahankan Islam.
Berbalik pada situasi masa kini, yang mana akhirnya akan mengakibatkan perbezaan di antara aspirasi dan realiti.Matlamat yang sepatutnya dicapai sebagai pemimpin akhirnya akan menjadi terlalu jauh dengan pencapaian sebenar.Kesilapan yang berlaku ini akan menyebabkan mereka yang dipimpin menjadi mangsa.
Firman Allah S.W.T di dalam Surah Baqarah ayat 44 :
Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?
Bayangkan jika situasi-situasi berikut berlaku:
Seorang pemimpin yang secara aktif menyeru ke arah demokrasi,tetapi tidak mahu mendengar pandangan dan pendirian orang lain yang berbeza dengannya.
Seorang pemimpin yang mengajak ke arah penyatuan dan perpaduan,tetapi dia sendiri mengamalkan kepimpinan secara pilih kasih dan autokratik.
Percanggahan di antara kata-kata dan tindakan ini semestinya akan membawa ke arah kekeliruan yang lebih besar.Kekeliruan ini akan membawa kepada persoalan-persoalan seperti yang mana yang betul dan yang mana yang salah?
Oleh yang demikian,apabila kita diberi pilihan untuk menjadi pemimpin,perlulah kita berfikir sedalam-dalamnya sama ada kita bersedia mahupun tidak untuk menerima amanah dan tanggungjawab tersebut.
Saya akhiri entri kali ini dengan suatu kisah yang mana kita boleh mengambil pengajaran tentang peri pentingnya tanggungjawab sebagai pemimpin di mana setiap apa yang berlaku akan ditanggung keseluruhannya.
Kisah ini berlaku pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab.Seorang Kristian Koptik dari Mesir datang kepada Sayyidina Umar dan mengadu bahawa dia dipukul kepalanya oleh anak Gabenor Mesir (Amru bin Al-As) dan dia tidak dapat pembelaan sewajarnya di Mesir.Sayyidina Umar kemudiannya bertindak memanggil Amru dan anaknya datang kepada beliau.
Sayyidina Umar kemudiannya memerintahkan Kristian Koptik itu tadi memukul kembali kepala anak Amru.Dan kemudiannya disuruhnya pula memukul kepala Amru.Lalu Kristian Koptik itu berkata kepada Sayyidina Umar, "Anaknya (Amru) yang menganiayai aku,bukan ayahnya".Lalu Sayyidina Umar berkata, "Anaknya menganiayaimu dengan kekuasaan yang ada pada ayahnya".
Nota : Rahbar adalah perkataan Parsi yang bermaksud "pemimpin".
No comments:
Post a Comment