Wednesday, March 4, 2009

Kaki Ayam

Sudah seminggu lebih saya berada di New Zealand.Selama tempoh ini,banyak perkara yang saya lihat dan alami menjadi luar kebiasaan saya di Malaysia.Antaranya;

i)Pejalan kaki bebas berjalan melintasi jalanraya di laluan "zebra-crossing".Tidak perlu lagi takut dengan kereta yang lalu lalang kerana menjadi undang-undang di sini bahawa pemandu perlu memberi keutamaan kepada pejalan kaki untuk melintas.

ii)Penunggang basikal pula wajib memakai topi keledar.Terdapat laluan khas untuk penunggang basikal di jalan sekitar universiti dan bandar Palmerston North.

iii)Cukup jarang untuk saya melihat sampah sarap di merata-rata tempat.Bandar Palmerston North dan Massey University cukup bersih jika mahu dibandingkan di tanahair.

iv)Berkaki ayam.Ini bagi saya adalah perkara yang cukup pelik.Bayangkan anda sedang membeli belah,berjalan ke kelas atau kuliah,mahupun pergi beriadah tanpa memakai kasut.Pelik bukan?Tapi itulah realiti di sini.Ramai di kalangan Kiwi (panggilan untuk warga New Zealand) hanya berkaki ayam ke merata-rata tempat.Sepanjang pengetahuan saya,amalan berkaki ayam ini dilakukan oleh orang Polinesia,dalam kes di New Zealand ini ialah orang Maori.Tetapi,ironiknya saya lihat orang Maori sendiri pun sentiasa memakai kasut.Hanya Kiwi kulit putih saja yang berkaki ayam.

v)Pergi ke kuliah,kelas dan makmal dengan memakai tee,seluar pendek dan jandal (japanese sandal).Ini termasuklah dengan pensyarahnya yang bergelar profesor atau profesor madya!

vi)Mesra dan mudah tersenyum.Ini yang saya jumpai di kalangan Kiwi sendiri.Walaupun tidak pernah kenal,tapi mereka suka menegur dan bertanya khabar (walaupun agak sukar bagi saya faham kerana slang New Zealand yang digunakan terlalu pekat),ataupun sekurang-kurangnya tersenyum.Namun,saya tidak perasan amalan ini di kalangan orang Maori.Mereka jarang tersenyum,malahan nampak garang.Ditambah lagi dengan saiz badan mereka yang jauh lebih besar,bertatu dan tinggi dari Kiwi kulit putih menyebabkan saya berfikir dua tiga kali sebelum ingin senyum dan menegur mereka.

vii)Membeli belah di Pak n Save (sama seperti Carrefour dan Tesco di Malaysia) memerlukan anda membawa plastik sendiri.Plastik di sini perlu dibeli,sama seperti barang jualan yang lain.Alasannya ialah untuk menggalakkan pengguna menggunakan kotak-kotak terpakai yang diletak di suatu sudut di dalam hypermarket tersebut.

viii)Premis-premis perniagaan di sini tutup awal,iaitu tidak melebihi pukul 6 petang,kecuali pub-pub dan Pak n Save sahaja ditutup lebih lewat.

viv)Matahari cukup terik pada waktu tengahari,namun suhu pada waktu itu mencecah 17-20 darjah Celcius...mungkin lebih rendah kerana angin yang bertiup kencang dan konsisten di daerah Manawatu ini.Keadaan ini agak kurang menyelesakan kerana kulit cepat menjadi kering dan sinar UV matahari agak membahayakan...selain menggeletar seluruh badan.


Mungkin ini sahaja pengalaman saya setakat ini.Masih panjang sebenarnya perjalanan di Massey University ini.Walau apapun................"Hujan emas di negeri orang,Hujan batu di negeri sendiri..


"Harap-harap dapat balik bercuti ke Malaysia hujung tahun ini,Insya Allah...."

No comments: