Tuesday, January 13, 2009

Tumbesaran Kezaliman

"Cuba teka, negara apakah yang bernyawa macam manusia?"

Saya mengatakan bahawa Israel adalah negara yang `bernyawa' kerana sempadannya sentiasa berkembang bagaikan makhluk bernyawa mengalami proses tumbesaran.
Dan tentu sekali Israel membesar bukan kerana khasiat susu Dumex, tetapi tindakan licik merampas tanah-tanah milik penduduk Palestin. Yang masih berterusan hingga kini.

Tanpa saya nafikan terdapat laporan terhadap aktiviti penjualan tanah yang rancak oleh bangsa Arab kepada kaum Yahudi suatu masa dahulu. Walaubagaimana pun pada tahun 1940, British High Commissioner for Palestine mengisytiharkan larangan buat kaum Yahudi daripada membeli hampir 95 peratus tanah di kawasan Palestin.


KEGENTINGAN DI GAZA

Baru-baru ini keadaan semakin tegang di Palestin apabila rejim Israel melancarkan serangan. Serangan besar-besaran yang membunuh orang-orang awam itu, menginjak di atas sebuah alasan. Alasan bahawa mereka diserang oleh roket buatan sendiri HAMAS.

Bagi yang belum peka terhadap konflik di Palestin, mungkin melihat tindakan Israel hanyalah sebuah serangan balas. Malah kebanyakan media masih memberikan gambaran serangan kejam Israel hanyalah sebuah serangan balas.

Alasan kononya serangan balas memberikan topeng innocent pada wajah-wajah Zionis Israel. Tetapi sekiranya disorot sejarah dan keadaan yang berlaku di sana. Ianya ternyata sebenarnya sebuah `serangan balas' kepada serangan balas!


PERJUANGAN MENGHADAPI YAHUDI ATAU ZIONIS?

Perjuangan umat Islam untuk Palestin bukan masalah toleransi antara Muslim dan Yahudi. Tamadun Islam telah mencoretkan bahawa umat Islam pernah hidup secara majmuk dan harmoni bersama pelbagai bangsa termasuklah bangsa Yahudi. Malah di al-Andalus (kini Sepanyol), kaum Yahudi mencapai zaman kegemilangan kebudayaan di bawah pentadbiran umat Islam.

Palestin sekitar awal kurun ke 19, yang didiami oleh 86 peratus Muslim dan 4 peratus Yahudi juga pernah hidup tanpa konflik.

Jelas perjuangan membebaskan Palestin bukan sebuah perjuangan bersikap perkauman terhadap Yahudi. Yang biasa dilabel dunia barat sebagai anti-semitik. Atas sebab itu saya tidak pernah bersetuju dengan slogan-slogan seperti "Moga Allah laknat Yahudi". Kerana Yahudi hanyalah bangsa, yang juga merupakan bangsa para Rasul terdahulu.

Lembaran sejarah perlu diamati kembali untuk memahami permasalahan di sana. Bermula dengan perpindahan kaum Yahudi yang semakin ramai ke bumi Palestin sekitar tahun 1929. Bersama gerombolan yang berpindah itu tentulah puak-puak Zionis.

Merekalah pelampau yang sentiasa menyimpan cita-cita untuk membina negara Yahudi. Dengan apa cara sekalipun berdiri di atas ketidakadilan dan penindasan.

Golongan Zionis yang semakin ramai berpindah ke Palestin mula menampakkan keinginan untuk menjadikan Palestin sebuah negara Yahudi. Tentu sekali ianya melahirkan rasa tidak senang penduduk asal yang akhirnya mencetuskan ketegangan.

Kaum Zionis yang degil ini bukan sahaja berkonflik dengan penduduk asal Palestin. Tetapi turut juga berkonflik dengan penjajah British yang ketika itu menjajah Palestin. Berpunca daripada tindakan British mewujudkan White Paper of 1939. Yang meletakkan had kepada pembelian tanah oleh bangsa Yahudi. Serta had bagi kemasukkan pendatang Yahudi.

Maka pendatang-pendatang Yahudi yang terkemudian boleh kita sebutkan sebagai pendatang haram. Kerana tidak pernah mendapat keizinan baik daripada penjajah mahupun penduduk setempat.

Peristiwa di atas sepatutnya menjadi kesedaran awam, tanpa mengira agama atau latar belakang bangsa. Bahawa sesungguhnya sikap kelompok Zionis yang membelakangkan keadilan tidak mengira siapa. Kezaliman, penindasan dan sikap cari gaduh mereka tidak mengenal samada Muslim atau bukan. Sesiapa yang menghalang matlamat mereka yang membelakangkan keadilan, adalah musuh yang patut ditentang.

PELANGGARAN HAK SEJAK AWAL

Ramai yang masih menyimpan harapan dengan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat membantu menyelesaikan masalah keganasan di Palestin. Ianya agak ironi, apabila mengenangkan bahawa tindakan PBB pada 1947 antara penyumbang tidak langsung kepada penubuhan Israel.

PBB yang bertindak aneh dan jauh dari prinsip keadilan, dengan tekanan daripada puak Zionis telah membuat keputusan. Memberikan 55 peratus Palestin kepada puak Yahudi walaupun jumlah mereka hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan. Dan mempunyai hak milik hanya 7 peratus tanah.

Campurtangan PBB sudah terlebih awal melanggar hak yang begitu diagungkan tamadun barat. Iaitu hak menentukan nasib sendiri (self-determination) bagi bangsa-bangsa yang masih mengalami penjajahan.

Sekiranya ketidakadilan telah wujud sejak awal lagi, maka tidak hairanlah Zionis boleh mengugut untuk terus menyerang sehingga HAMAS diundurkan. HAMAS, kerajaan yang dilantik melalui proses demokrasi. Sebuah lagi idea yang turut diagungkan tamadun barat.

Perlulah semua kembali jelas, bahawa yang rejim Zionis mahukan bukan untuk HAMAS berundur sahaja. Itu adalah idea di permukaan. Tetapi jauh ke dasar yang mereka mahukan adalah penguasaan penuh keatas Palestin. Meragut sesuatu yang bukan hak mereka. Kebiasaan bertindak zalim hanya akan menjadikan kezaliman sebuah tabiat.

Kezaliman yang sudah menjadi tabiat puak Zionis. Maka sekiranya mereka sudah mendapat keseluruhan Palestin pun, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa seterusnya.



1 comment:

Fairuz Sallehuddin said...

PBB mmg tak guna. utk kuasa2 veto je. tak pentingkan langsung keamanan negara2 lain. Topeng kpd US, Britain n Israel je:(