Tuesday, December 2, 2008

Berdepan soalan golongan tak mahu berdakwah-Akhir

Soalan 5:

Bila kita fokus tenaga kita pada bagaimana hendak menjawab soalan dari non Muslim, itulah yang kita dapat. Adakah itu yang kita hendak? Makin banyak kita belajar menjawab soalan, makin banyak soalan yang kita dapat dan kita akan berdebat dengan mereka. Adakah ini yang kita mahukan?


Jawapan:

Gerakan Kristian atau missionary dibuat dengan amat terancang dan teratur. Mereka mengkaji Islam. Sebahagian daripada mereka mendapat petunjuk hasil dari kajian yang dibuat, dan sebahagian yang lain pula terus sesat lagi menyesatkan. Antara perkara yang mereka usahakan ialah menimbulkan keraguan tentang kebenaran Islam. Malah ada yang memutarbelitkan ayat dari Quran untuk mengelirukan umat Islam! Andainya tiada di kalangan umat Islam yang berusaha menjawabnya dan menyampaikan kepada penggerak-penggerak Islam yang lain, maka bukankah ini akan memudahkan gerakan missionary?

Kita kena ingat, gerakan missionary hari ini tidak sama seperti 10-30 tahun dahulu. Mereka sekarang makin agresif, cuma mungkin kebanyakan daripada kita yang tidak pernah sedar perkara ini. Satu contoh, seorang pelajar lelaki Twintech pernah didatangi oleh seorang missionary perempuan berbangsa Korea di Mid Valley pada sabtu 14/7/2007. Bersama pelajar ini ialah kawan lamanya (juga lelaki).

Pada mulanya missionary ini menyamar ingin membuat survey tentang budaya di Malaysia, kemudian mula bertanya tentang tudung. Katanya kenapa ada yang pakai tudung dan ada yang tidak pakai tudung. Kata missionary itu lagi, dia takut hendak bersembang dengan orang bertudung (ini adalah salah tanggapan terhadap Islam). Kemudian tidak lama selepas itu, dia mula bertanya tentang Isa Al Masih dan bercakap tentang trinity. Dia diajar untuk menggunakan perkataan Isa Al Masih dan bukannya Jesus Christ. Kemudian pelajar ini bertanya semula beberapa soalan. Apabila missionary tersebut tidak dapat menjawab, 4 orang lagi kawan missionary itu datang. Akhirnya apabila kumpulan missionary ini sudah tiada idea, mereka pun kata yang mereka ada hal dan terpaksa pergi.

Jadi, adakah kita fikir bahawa peristiwa di Mid Valley tadi itu berlaku hanya sekali dan hanya kepada pelajar Twintech itu seorang sahaja? Bayangkan mereka buat “amali” di negara kita! Tidak cukup rakyat Malaysia sendiri di kalangan Cina, India, Melayu, Iban dan sebagainya menjadi missionary di negara kita, tapi sekarang orang Korea pun datang nak “berdakwah” kepada orang-orang kita. Mereka dilatih untuk menyoal soalan-soalan tertentu kepada kita, adakah kita patut berdiam diri saja? Adakah kita patut jadi defender saja? Sesekali kita perlu juga “menyerang” mengikut acuan Quran (3:64-65, 16:125 dll).

Satu perkara perlu diingatkan di sini ialah kita berdialog bukanlah untuk menang hujah, tetapi kita hendak menang hati. Sebab hujah daripada Maha Pencipta akan sentiasa mengatasi hujah ciptaan manusia. Dalam kata lain, hujah Quran akan sentiasa mengatasi hujah Bible. Ini bermaksud, melalui kajian, kita akan menemui banyak simpang siur yang cacat di dalam Bible, dan akan sentiasa mampu menjawab walaupun sejuta persoalan terhadap Islam melalui panduan Quran, hadis malah logik akal!

No comments: