Tahun 2008 semakin menghampiri penghujungnya. “Foundation years” pun sudah, AS dan A2 pun sudah.Setelah memperolehi keputusan yang agak cemerlang di dalam peperiksaan A2 yang lalu,kini tumpuan saya dan juga rakan-rakan batch yang lain sudah tentunya ke arah tahun 2009,dimana bermulanya kembali pengajaran dan pembelajaran yang semestinya tidak akan serupa lagi seperti sebelumnya-pengajian peringkat ijazah-yang dijangkakan lebih mencabar.
KMS A-Level Batch 7-Majoriti pelajar daripada batch ini telah memilih universiti-universiti di Australia sebagai destinasi pengajian yang seterusnya.Ketika ini,hampir kesemua pelajar sudah pun menerima “Conditional Offer” daripada universiti pilihan.Namun,keadaan agak gawat seketika selepas itu,apabila ramai yang ‘tersangkut’ di dalam usaha mereka untuk mendapatkan “Unconditional Offer” kerana kelayakan Bahasa Inggeris-IELTS yang tidak mengizinkan.Akibatnya,ramai pelajar terpaksa mencari universiti lain yang tidak menggunakan IELTS sebagai pilihan pertama.Contohnya,rakan-rakan yang ingin ke New South Wales (NSW) terpaksa memilih University of Sydney sebagai ganti.
Namun bagi saya yang memilih New Zealand sebagai destinasi pengajian yang seterusnya,Alhamdulillah kerana segala perkara yang perlu dilakukan masih mengikut perancangan yang telah diaturkan.Ketika entry ini disiapkan,saya sudah pun menerima kesemua tiga “Unconditional Offers” daripada universiti-universiti di New Zealand iaitu, University of Auckland, University of Canterbury, dan Massey University.Dan baru seketika tadi,saya sudah menghantar semula “Acceptance of Offer Letter” yang siap diisi kepada SELSET,iaitu ejen yang bertanggungjawab menguruskan pelajar yang akan ke New Zealand.
Untuk pengetahuan semua,saya telah memutuskan untuk menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah daripada Massey University.Bidang yang ditawarkan adalah,Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Nanoteknologi.Pengajian ini adalah selama 4 tahun bermula pada tahun depan,bertempat di Kampus Turitea,Palmerston North (2 jam perjalanan dari Wellington).
MENGAPA NEW ZEALAND?MENGAPA MASSEY?
1)Aman dan tenang-New Zealand adalah antara negara yang tercantik di dunia.Ia penuh dengan pelbagai landskap dan keindahan alam semulajadi.Dengan populasi hanya sekitar 4 juta orang,New Zealand menjanjikan ketenangan dan kebebasan daripada gangguan pemikiran.Ini adalah penting bagi pelajar untuk menumpukan perhatian mereka terhadap pelajaran,dan pada masa yang sama membentuk hubungan yang baik terhadap alam sekitar.
2)Kos hidup yang rendah-Berbanding Australia,rata-rata penduduk di bandar-bandar sekitar New Zealand tidak perlu berbelanja lebih untuk keperluan seharian mereka.Hal ini antaranya menjadi keutamaan kepada para pelajar,lebih-lebih lagi kepada pelajar tajaan.
3)Bidang pengajian yang baru dan agak kompetitif-BE (ChemNano) adalah antara bidang baru yang terkehadapan di dalam dunia sains pada masa kini.Oleh yang demikian,prospek pekerjaan di dalam bidang ini dijangkakan cerah pada masa hadapan.Massey University adalah satu-satunya universiti yang menawarkan pengkhususan ini di Australasia.
4)Palmerston North-Bandar Pelajar (Student City)
-Palmerston North (Palmy) adalah antara bandar yang baru berkembang pesat di New Zealand.Dengan populasi sekitar 79000 orang (majoritinya pelajar berusia 15-25 tahun),Palmy mempunyai tarikannya yang tersendiri.Kos sara hidup di Palmy adalah yang paling rendah di New Zealand,di samping menempatkan hampir 50 buah institusi pendidikan pelbagai peringkat.Ia juga merupakan hab pengangkutan awam terbesar di New Zealand.Keadaan cuaca dan iklimnya yang sederhana menjanjikan kelainan dan keselesaan kepada penduduk Palmerston North.
Sebenarnya,masih banyak lagi sebab mengapa saya memilih untuk ke New Zealand berbanding pilihan majoriti,Australia.Tetapi,buat masa ini,biarlah saya rahsiakan dulu dari pengetahuan umum.Walaupun saya sahaja yang lelaki,tetapi Insya Allah,saya akan pergi bersama-sama dengan hampir 20 orang pelajar A-Level TESL dan IB-Tindikan (hampir kesemuanya perempuan),di samping dua orang pelajar perempuan dari batch saya yang juga akan ke Massey Universiti.
Namun,sesuatu yang sudah pasti bagi saya dan rakan-rakan batch 7,perginya kami ke Australasia bukanlah untuk berseronok,ataupun menghabiskan masa dengan melancong.Akan tetapi,untuk menimba ilmu dan pengalaman yang berguna bagi mencapai cita-cita kami selaku jurutera yang kompetitif.Oleh yang demikian,sasaran baru telah ditetapkan,iaitu mendapatkan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama bagi pengajian kami di sana.Mudah-mudahan,sebagaimana sasaran A-Level yang lalu telah dipenuhi,Allah memakbulkan hajat kami untuk memenuhi sasaran yang terbaru ini Insya Allah...
No comments:
Post a Comment