Showing posts with label Isu semasa. Show all posts
Showing posts with label Isu semasa. Show all posts

Wednesday, February 11, 2009

ASiS;Syahbandar

Baru-baru ini saya telah berkunjung ke sekolah tempat saya pernah belajar,iaitu ASiS (SM Sains Alam Shah) di Bandar Tun Razak.Kunjungan ini telah saya rancang sejak minggu lalu di samping menghadiri taklimat pra-perjalanan anjuran MARA di UniKL.Saya meluangkan masa dari hari Jumaat 6hb hingga Ahad 8hb di sana.

Kali terakhir saya melawat ASiS ialah pada bulan April yang lepas,iaitu ketika Hari Karnival ASiS diadakan.Dan sepanjang tempoh itu,pelbagai perubahan dan kejayaan dikecapi oleh ASiS.Ramai guru-guru ASiS pada zaman saya dahulu berpindah.Tiada lagi cikgu Farihah,Cikgu Farihan,Cikgu Bad,Cikgu Titiyaka,Ustaz Zul,Cikgu Rosemawati dan Ustazah Muhayah.Selain itu,asrama kini tiada lagi katil double decker dan digantikan dengan katil single.Blok tempat Cikgu Rosemawati dan Ustazah Muhayah tinggal dulu kini menjadi blok asrama yang baru.Dewan besar sekolah kini dilengkapi air-conditioner.Bahagian ampaian pula kini sudah berbumbung.



Melihat semua ini,saya pantas mengingat kembali semasa era batch-batch perintis,iaitu batch 1 dan batch 2 (batch saya).Semua itu tidak ada malah kemudahan yang ada cukup terhad.Teringat sewaktu di dalam kelas semasa cikgu mengajar,tiba-tiba ramai kawan-kawan dari kelas lain dan kelas saya berlari-lari sehingga keadaan di luar kawalan cikgu.Rupa-rupanya mereka berlari ke arah ampaian untuk menyelamatkan pakaian masing-masing dari basah kuyup akibat hujan lebat.

Banyaklah lagi dugaan dan cabaran selaku pelajar perintis di ASiS ini.Namun itu semua tidak menjadi penghalang.Kejayaan demi kejayaan dicapai dari segi akademik dan kokurikulum semenjak zaman itu hinggalah sekarang.

"Oleh itu,adik-adik sekalian perlu bersyukur dengan segala nikmat yang anda kecapi sekarang.Syukur itu bukan sahaja perlu terucap secara lisan,malahan perlu timbul dari hati nurani anda sendiri,tatkala kalian menghadapi sesuatu dugaan maka janganlah merungut.Fikirkan bahawa ada lagi insan yang jauh kurang bernasib baik seperti anda.Tatkala itu,Allah akan memberi kita ilham bagaimana untuk mengatasi dugaan itu asalkan ada iltizam dari kalian untuk merubah diri sendiri"

-Inilah antara pesanan saya dalam tazkirah maghrib pada hari Sabtu yang lepas kepada pelajar-pelajar ASiS yang kini menjangkau batch ke-6.Kata-kata ini saya ucapkan di atas kesedaran bahawa ASiS kini tidak lagi boleh memandang ke belakang,sebaliknya terus maju ke hadapan.2010 cuma tinggal setahun lagi dari sekarang.Harapan agar visi ASiS untuk menzahirkan pemimpin bertaraf dunia akan dapat dicapai pada tahun itu.

Syahbandar

Saya berkesempatan meninjau sendiri aras dan dorm tempat saya tinggal dahulu di ASiS.Pemandangannya sudah berubah sama sekali.Dinding dicat dengan baik dan lambang-lambang dan slogan sebagai trademark rumah dapat dilihat di mana-mana.Lantai dorm juga telah berjubin.Dorm kini sudah berkali ganda cantiknya dari dulu.Sekali sekala teringat pujian dari ketua guru rumah terhadap lantai dorm 2B5 yang senantiasa berkilat sehingga menjadi buah mulut semua guru-guru ASiS ketika dahulu.

"Lantai 2B5 berkilat.Sampai boleh dibuat cermin.Macam inilah yang saya mahu dari setiap dorm Syahbandar"-Encik Zulkifli Hamzah

"Tiap-tiap kali mesyuarat warden,takde cerita lain yang keluar.Mesti nak cakap pasal lantai dorm 2B5"-Encik Sharil Adha Md Nor

Juga ingatan terhadap rakan-rakan se-dorm yang lain seperti Afif,Ikhwan,Azrin,Ucop,Fikri Azriq,Qawiem,Afiq,Imran,Pi'e dan Joe yang kini sudah pun punya hala-tuju masing-masing.Tidak juga dilupakan senior dorm seperti abang Mat Sharil,Rohaizwan dan ketua Dorm-Encik Kicap.Banyak kenangan,samada yang manis atau pahit sepanjang saya tinggal di dorm ini.




Hanya satu sahaja kebanggaan saya yang masih tinggal bersama Syahbandar,iaitu lagu rasmi yang dinyanyikan tiap-tiap pagi Selasa semasa perhimpunan mingguan rumah.Saya telah mencipta lagu ini setelah lagu yang pertama saya ciptakan untuk Syahbandar "kurang mendapat sambutan".Saya rasa cukup terharu kerana lagu ini masih lagi dinyanyikan oleh ahli rumah Syahbandar sehinggalah sekarang.

Lagu ini diilhamkan dari lagu "Biar Jasa Jadi Kenangan" yang sering dinyanyikan oleh penyokong pasukan bola sepak Kedah.Berikut adalah liriknya:

Yakinkanlah diri sendiri
berjuanglah sejiwa murni
Tekun berani sesungguh hati
Mengharungi serata negeri

Biar jasa jadi kenangan
hitam kuning lambang kemegahan
penuh semangat dengan harapan
Syahbandar!Syahbandar jadi johan

Korus:

Kami...Kami pantang kalah
walau sakit jatuh dan rebah
bangun lantas semula gagah
bujur lalu melintang patah

Hitam kuning tandaku,
Jalur lambang rumahku
Sematkanlah harapan
Cemerlang Gemilang dan terbilang...

Namun begitu,kenangan-kenangan ini mungkin suatu hari nanti akan hilang begitu sahaja tatkala kedengaran dari kalangan guru-guru ASiS sendiri bahawa ASiS bakal berpindah ke premis baru di Sendayan,Negeri Sembilan.Ini kerana Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) akan mengambil alih kawasan ASiS sebagai jajahan takluknya;sesuatu yang amat dikesalkan ramai pihak,termasuklah diri saya sendiri.

Sekarang,usaha-usaha telah dimulakan oleh pihak sekolah sendiri dengan bantuan Alumni Sekolah Alam Shah (ASAS) untuk membatalkan usaha MPIK tersebut.ASAS merasa terpanggil untuk membantu kerana mereka masih menganggap kawasan ASiS ini sebagai sebahagian daripada Sekolah Alam Shah (SAS) yang sudah berpindah ke Putrajaya.Lagipun Alumni Pelajar ASiS (OASiS) masih lagi belum kukuh untuk turut sama membantu.Namun OASiS tetap akan mengusahakan sesuatu bagi membantu pihak sekolah mengatasi krisis ini.

Biar apa jua kesudahannya,saya amat berharap agar kegemilangan dan kehebatan ASiS sebagai sekolah yang cemerlang dari pelbagai sudut hasil gabungan cetusan minda para guru dengan teknokrat ASiS ini tidak akan mudah pudar,malah terus mencapai kejayaan pada masa akan datang,biarpun diasak dari pelbagai sudut,bak kata lagu Syahbandar tadi;

"Kami pantang kalah,walau sakit jatuh dan rebah,bangun lantas semula gagah,bujur lalu melintang patah."




P/s:Insya Allah,saya akan kembali ke ASiS pada Khamis ini sekiranya saya masih belum berlepas ke New Zealand.Saya dijemput oleh pihak sekolah bersama-sama saudara Izzat A.Rahman,dan Zulfadli Zakaria (kini masing-masing menuntut di University of Western Australia (UWA) dan University of Melbourne) untuk menyampaikan ceramah kepada pelajar-pelajar ASiS batch ke-7 yang baru mendaftar.

Cikgu Shafrin keluar di TV9 setahun lalu;

Monday, February 2, 2009

Rasional Memboikot

Saya merasa tertarik dengan tulisan terbaru saudara Irfan Jusoh berkaitan pendekatan memboikot produk-produk syarikat yang diyakini menyokong dasar ketenteraan Israel yang tegar menumpahkan darah umat Islam di Palestin khususnya.Seperti mana kata beliau,tindakan memboikot ini perlu dikaji secara teknikal,bukan sahaja atas sebab kewajipan umat Islam,tatkala rakan seagama kita ditindas tanpa belas kasihan di Gaza.Turut disertakan di dalam entri terbaru beliau itu ialah emel dari seseorang yang berpangkat di dalam KFC yang mana memberi penjelasan tentang dasar francais KFC di Malaysia serta hubungannya dengan KFC Amerika Syarikat.

Saya agak kurang membaca berkenaan sistem francais,tetapi sistem ini memberi peluang kepada sesebuah perniagaan untuk mengembangkan lagi operasinya dengan menjual penggunaan nama eksklusif dan latihan kepada syarikat-syarikat yang berminat,di mana syarikat-syarikat ini perlu membayar sejumlah wang yang dipersetujui setiap tahun.Begitulah juga dengan KFC dan juga McDonald,dimana syarikat induknya memperolehi pendapatan setiap tahun hasil dari sistem francais ini yang dikembangkan hampir ke seluruh dunia.Dan dari hasil pendapatan inilah,syarikat-syarikat ini menyumbang sebahagiannya kepada Israel untuk misi ketenteraan mereka itu.

Jadi,bagaimana boikot ini berfungsi?Seperti mana yang kita sedia maklum,Pengguna Muslim adalah antara populasi pengguna yang teramai di dunia.Jadi,sekiranya kita memboikot syarikat-syarikat penyokong Israel ini,ia dijangka akan memberi tekanan secara ekonomi kepada syarikat tersebut.Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan bahawa hanya sekitar berapa puluh peratus umat Islam yang memboikot sahaja,bakal menjadikan syarikat-syarikat ini di ambang muflis,lalu mereka akan berfikir dua kali sebelum ingin meneruskan sokongan kewangan mereka terhadap Israel.Contoh yang kita dapat lihat baru-baru ini ialah di Denmark,di mana kerajaan Denmark sendiri terpaksa merayu kepada umat Islam seluruh dunia agar menghentikan tindakan boikot ekoran kes karikatur menghina Rasulullah SAW.Ini adalah salah satu contoh tindakan yang berhasil.Mengapa kita tidak lakukan perkara yang sama terhadap Israel?

Ada yang berpendapat,kalau syarikat-syarikat ini dipulaukan serta dijatuhkan sehingga muflis,mana pekerja-pekerja mereka hendak cari kerja?Bukankah ramai orang Islam juga yang bekerja di syarikat-syarikat ini?

Cuba kita tanyakan soalan ini kepada diri kita;Wajarkah perempuan melacurkan diri mereka hatta untuk menyara hidup mereka dan keluarga mereka?Patutkah?Jelas sekali,matlamat tidak menghalalkan cara.Bekerja di syarikat-syarikat ini umpama anda bekerja di kilang-kilang menghasilkan peluru dan senjata untuk Israel.Carilah kerja di tempat yang lain.Biarpun sekarang kegawatan ekonomi melanda negara dan peluang untuk mencari pekerjaan terlalu terhad,pasti akan ada kerja yang lebih baik untuk kita;asalkan kita tidak terlalu memilih pekerjaan sehingga ia dimonopoli oleh pendatang asing dari Indonesia,Bangladesh,Vietnam dan lain-lain.

Seterusnya,ada juga yang berpendapat bahawa tindakan memboikot ini akan menyebabkan ekonomi Amerika Syarikat merudum,seterusnya menyebabkan kita terasa tempiasnya.Bagi saya,mungkin ini hanya akan berlaku pada jangka masa yang singkat,lebih-lebih lagi Malaysia kini tidak terlalu bergantung terhadap pasaran Amerika Syarikat.Kalau kita lihat dengan lebih mendalam dan dalam jangka masa yang panjang,senario memboikot ini mampu membuka peluang pasaran produk yang baru dari dunia Islam khususnya.Saya ingin memberikan contoh;Coca-Cola.Coca-Cola semenjak zaman berzaman lagi telah memonopoli pasaran minuman ringan sedunia.Namun,akibat tindakan boikot oleh negara-negara Arab telah menyebabkan ia terpaksa menutup perniagaannya di negara-negara Arab ini,dan seperti lazimnya,ramai yang hilang pekerjaan.Peluang ini lantas direbut oleh pengeluar minuman ringan dari Iran,Zam-Zam Cola.Hasilnya,perniagaan ini berkembang maju di negara-negara Arab malahan pasarannya sampai ke Denmark.

Apa yang ingin saya sampaikan dalam senario di atas ialah,produk-produk baru dunia Islam perlu diperkenal dan diketengahkan supaya tindakan memboikot ini dapat berterusan dalam jangka masa yang panjang sehingga boleh mencapai tahap di mana umat Islam tidak perlu lagi bergantung kepada Barat.

Di Malaysia juga kita ada alternatif kepada KFC mahupun McDonald seperti Radix Fried Chicken,Malaysian Chicken Curry dan lain-lain lagi.Tetapi alternatif ini jarang menjadi pilihan.Mungkin kerana pemikiran dan mindset orang kita masih lagi terlalu kebaratan.Sudahnya,sesiapa yang mengidam atau teringin sangat nak makan segala KFC dan McDonald itu,saya tidak dapat halang,tetapi fikir-fikirkanlah,setiap belanja yang kita keluarkan itu akan digunakan untuk membunuh masa depan sahabat-sahabat kita di Palestin.
Mungkin akan ada di antara kita yang berkata sebegini;

“Alah,aku sure sangat Yahudi tu x pakai duit aku nie wat peluru dengan bom”

“Alah,mintak2 la duit aku ni Yahudi x guna nak bunuh orang Palestin”

“Alah,xpakai kot duit aku ni Yahudi tuh”

Itu tanggapan anda SEORANG.Tapi bagaimana pula kalau ada berjuta-juta manusia di dunia ini yang berfikiran seperti anda?

“Lu pikirlah sendiri” tatkala umat Islam di Palestin terus tertindas dan ditindas.Apa kita nak jawab depan Allah nanti?Apa kita nak jawab?

Mungkin kita tidak mampu memboikot kesemua barangan dan produk Amerika Syarikat ini atas keperluan yang mendesak.Tapi,usaha ini perlu dilakukan terhadap penyokong Zionis TEGAR seperti Coca Cola,McDonald,Starbucks dan lain-lain.Amalkan juga “Buy American Last”.Dan yang paling penting,tanamkan semangat dalam diri kita bahawa suatu hari nanti,kita tidak perlu lagi bergantung dan menjadi kuda tunggangan Barat.Insya Allah,tiada lagi penindasan dan Islam akan kembali sebagaimana zaman kegemilangan Daulah Khilafah suatu ketika dahulu….Wassalam.

Wednesday, January 14, 2009

Islam dan Yahudi

Hanya ada 14 juta Yahudi di muka bumi ini; tujuh juta di Amerika, lima juta di Asia, dua juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Bagi setiap orang Yahudi ada 100 orang Muslim (1:100). Namun, jika dicampur semua sekali, Yahudi lebih 100 kali berkuasa daripada orang Islam. Mengapa ini berlaku?

Siapa mereka ini?

Nabi Isa (Jesus of Nazareth) ialah Yahudi. Albert Einstein, saintis zaman moden paling terkemuka dan disebut oleh majalah Time sebagai 'Manusia Abad ini' ialah seorang Yahudi; Sigmund Freud - melalui teori id, ego dan super-ego ialah bapa psikoanalisis, juga seorang Yahudi; begitu juga Karl Marx, Paul Samuelson dan Milton Friedman.

Selain mereka banyak lagi orang Yahudi yang hasil kebijaksanaan mereka berupaya menghasilkan keperluan untuk kita semua: Benjamin Rubin memperkenalkan jarum suntikan pelalian.

Johas Salk mereka vaksin polio yang pertama. Gertrude Elion mencipta ubat melawan leukemia. Baruch Blumberg mencipta vaksin Hepatitis B. Paul Ehrlich menemukan rawatan untuk siflis. Elie Metchnikoff menang Hadiah Nobel untuk penyakit berjangkit. Bernard Katz menang Hadiah Nobel kerana kajian mengenai transmisi neuromuskular.

Andrew Schally penerima Nobel dalam kajian endokrinologi (berkaitan sistem endokrin dan kencing manis). Aaron Beck menemui terapi kognitif (rawatan mental, kesugulan dan fobia).

Gregory Pincus membangunkan pil perancang keluarga yang pertama. George Wald menang Nobel bagi kajian mata manusia, Standley Cohen dianugerahi Hadiah Nobel dalam kajian embriologi (kajian janin dan perkembangannya). Willem Kolff mencipta mesin dialisis (mencuci) buah pinggang.

Sejak 105 tahun, 14 juta Yahudi menang 15 dozen Hadiah Nobel, sementara tiga dimenangi oleh 1.4 bilion umat Islam.

Stanley Mezor mencipta mikrocip pertama. Leo Szilards membangunkan reaktor rangkaian nuklear pertama; Peter Schultz (kabel gentian optik); Charles Adler (lampu isyarat); Benno Strauss (besi tahan karat - stainless steel); Isador Kisee (sistem suara di pawagam); Emile Berliner (mikrofon untuk telefon) dan Charles Ginsburg (alat pita rakaman).

Saudagar jenama terkaya dunia juga dikuasai Yahudi iaitu Ralph Lauren (Polo), Levis Strauss (Levi's Jeans), Howard Schultz (Starbuck's), Sergey Brin (Google), Michael Dell (Dell Computers), Larry Ellison (Oracle), Donna Karan (DKNY), Irv Robbins (Baskin & Robbins) dan Bill Rossenberg (Dunkin Donuts).

Richard Levin, presiden universiti tersohor Yale Universiti ialah seorang Yahudi. Henry Kissinger, Joseph Lieberman dan Madeleine Albright (bekas-bekas Setiausaha Negara AS); Alan Greenspan (bekas pengerusi Rizab Persekutuan AS di bawah Reagan, Bush, Clinton dan Bush); Maxim Litvinov (bekas Menteri Luar Soviet Union); David Marshal (bekas Ketua Menteri pertama Singapura); Isaac Isaacs (bekas Gabenor Jeneral Australia); Benjamin Disraeli (negarawan dan penulis Britian); Yevgeny Primkov (bekas Perdana Menteri Rusia dan bekas jeneral KGB); Jorge Sampaio (bekas Presiden Portugal); Herb Gray (bekas Timbalan Perdana Menteri Kanada); Pierre Mendes (Perdana Menteri ke-143 Perancis); Michael Howard (bekas Setiausaha Negara British); Bruno Kreisky (bekas Canselor Austria) dan Robert Rubin (bekas Setiausaha Perbendaharaan AS).

Dalam dunia media, orang Yahudi yang terkemuka ialah Wolf Blitzer (CNN); Barbara Walters (ABC News); Eugene Meyer (Washington Post); Henry Grunwald (Ketua Editor Time); Katherine Graham (penerbit The Washington Post); Joseph Lelyyeld (Editor Eksekutif, The New York Times) dan Max Frankel (The New York Times).

Dermawan dan penyangak mata wang, George Soros ialah Yahudi. Dia menderma AS$4 bilion untuk membantu ahli sains dan universiti serata dunia.

Walter Annenberg menderma untuk membina ratusan perpustakaan berjumlah AS$2 bilion.

Di Olimpik, Mark Spitz membolot tujuh pingat emas. Lenny Krayzelburg ialah pemegang tiga kali pingat emas Olimpik. Spitz Krayzelburg dan Boris Becker adalah Yahudi.

Tahukah anda bahawa pelakon pujaan Harrison Ford, George Burns, Tony Curtis, Charles Bronson, Sandra Bullock, Billy Cystal, Woody Allen, Paul Newman, Peter Sellers, Dustin Hoffman, Michael Douglas, Ben Kingsley, Kirk Douglas, Willian Shatner, Jerry Lewis dan Peter Falk semuanya Yahudi?

Tambahan lagi, Hollywood sendiri diwujudkan oleh orang Yahudi. Antara pengarah dan penerbit, Steven Spielberg, Mel Brooks, Oliver Stone, Aaron Spelling (Beverly Hills 90210), Neil Simon (The Odd Couple), Andrew Vaina (Rambo 1- 2-3), Michael Man (Starsky and Hutch), Milos Forman (One Flew Over The Cuckoo's Nest), Douglas Fairbanks (The Thief Of Baghdad) and Ivan Reitman (Ghostbusters) - semuanya adalah Yahudi.

Mempengaruhi

Washington yang merupakan ibu negara Amerika Syarikat, mempunyai satu pertubuhan lobi yang amat berkuasa. Ia dikenali sebagai Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) yang berupaya mempengaruhi Kongres meluluskan resolusi memuji dan 'membuat apa saja' demi Israel.

Tahukah lagi bahawa William James Sidis dengan IQ 250-300 ialah manusia tercerdik. Dia ialah Yahudi.

Jadi, mengapa mereka ini terlalu berkuasa?

Jawapannya: Pendidikan, pelajaran, ilmu.

Mengapa umat Islam terlalu lemah?

Dianggarkan 1,476,233,470 Muslim di atas muka bumi Allah ini. Satu bilion di Asia, 400 juta di Afrika, 44 juta di Eropah dan enam juta di Amerika. Setiap lima insan manusia ialah Muslim. Setiap seorang Hindu ada dua orang Islam, setiap seorang Buddha ada dua orang Islam dan setiap seorang Yahudi ada beratus orang Islam. Mengapa orang Islam terlalu lemah?

Ini jawapannya: Terdapat 57 negara anggota OIC dan jika dicampur semua cuma ada kira-kira 500 buah universiti; atau sebuah universiti untuk setiap tiga juta orang Islam.

AS mempunyai 5,758 universiti dan India ada 8,407. Pada 2004, Shanghai Jiao Tong Universiti membuat kajian 'Kedudukan Akademik Universiti-universiti Dunia' - dan menakjubkan - tiada satu pun universiti-negara Islam yang berada di puncak 500.

Data yang dikumpul dari UNDP, tahap celik huruf di negara maju ialah hampir 90 peratus dan 15 negara itu mempunyai 100 peratus celik huruf. Negara majoriti penduduk Islam, purata kadar celik huruf ialah sekitar 40 peratus dan tiada negara yang mempunyai 100 peratus semuanya celik huruf.

Sekitar 98 peratus penduduk di negara maju menamatkan sekurang-kurang sekolah rendah, sementara hanya 50 peratus di negara majoriti Islam. Sekitar 40 peratus penduduk di negara maju memasuki universiti, sementara hanya 2 peratus di negara majoriti Islam.

Negara-negara majoriti Islam mempunyai 230 ahli sains bagi setiap (per) sejuta penduduk. Di AS 4,000 per sejuta, Jepun 5,000 per sejuta. Di seluruh negara Arab, penyelidik sepenuh masa ialah 35,000 dan hanya 50 juruteknik per sejuta (berbanding di negara maju 1,000 juruteknik per sejuta).

Negara Islam membelanjakan 0.2 peratus daripada KDNK untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebaliknya, di negara maju membelanjakan 5 peratus daripada KDNKnya.

Kesimpulan: Dunia Islam kurang keupayaan untuk menghasilkan ilmu pengetahuan.

Akhbar harian yang dibaca oleh setiap 1,000 orang dan jumlah judul buku yang dibaca oleh setiap sejuta orang adalah dua angka tunjuk bagi menentukan sama ada ilmu pengetahuan disalurkan ke dalam masyarakat.

Di Pakistan, hanya ada 23 akhbar harian per 1,000 rakyat Pakistan sementara nisbah di Singapura ialah 360. Di UK, jumlah judul buku per juta orang ialah 2,000 sementara di Mesir ialah 20.

Kesimpulan: Dunia Islam gagal menyalurkan ilmu pengetahuan.

Yang menariknya, jumlah terkumpul KDNK tahunan 57 buah negara ahli OIC ialah di bawah AS$2 trilion. Amerika sahaja, menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai AS$12 trilion, China AS$8 trilion, Jepun AS$3.8 trilion dan Jerman AS$2.4 trilion.

Pengeluar minyak yang kaya, Arab Saudi, UAE, Kuwait, Qatar secara rangkuman menghasilkan barangan dan perkhidmatan (rata-rata minyak) bernilai AS$500 bilion; Sepanyol sahaja menghasilkan barangan dan perkhidmatan bernilai lebih AS$1 trilion, Poland AS$489 bilion dan Thailand AS$545 bilion.

Jadi, mengapa orang Islam tidak berkuasa dan orang Yahudi paling berkuasa?

Jawapannya ialah: Kurangnya ilmu. Kurangnya pendidikan dan kurangnya pelajaran.

p/s:Tulisan seorang penulis bebas, yang juga Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Kajian Keselamatan (CRSS) Pakistan, Dr. Farrukh Saleem (rujukhttp://www.masada2000.org/Powerful-Jews.html)

Tuesday, January 13, 2009

Tumbesaran Kezaliman

"Cuba teka, negara apakah yang bernyawa macam manusia?"

Saya mengatakan bahawa Israel adalah negara yang `bernyawa' kerana sempadannya sentiasa berkembang bagaikan makhluk bernyawa mengalami proses tumbesaran.
Dan tentu sekali Israel membesar bukan kerana khasiat susu Dumex, tetapi tindakan licik merampas tanah-tanah milik penduduk Palestin. Yang masih berterusan hingga kini.

Tanpa saya nafikan terdapat laporan terhadap aktiviti penjualan tanah yang rancak oleh bangsa Arab kepada kaum Yahudi suatu masa dahulu. Walaubagaimana pun pada tahun 1940, British High Commissioner for Palestine mengisytiharkan larangan buat kaum Yahudi daripada membeli hampir 95 peratus tanah di kawasan Palestin.


KEGENTINGAN DI GAZA

Baru-baru ini keadaan semakin tegang di Palestin apabila rejim Israel melancarkan serangan. Serangan besar-besaran yang membunuh orang-orang awam itu, menginjak di atas sebuah alasan. Alasan bahawa mereka diserang oleh roket buatan sendiri HAMAS.

Bagi yang belum peka terhadap konflik di Palestin, mungkin melihat tindakan Israel hanyalah sebuah serangan balas. Malah kebanyakan media masih memberikan gambaran serangan kejam Israel hanyalah sebuah serangan balas.

Alasan kononya serangan balas memberikan topeng innocent pada wajah-wajah Zionis Israel. Tetapi sekiranya disorot sejarah dan keadaan yang berlaku di sana. Ianya ternyata sebenarnya sebuah `serangan balas' kepada serangan balas!


PERJUANGAN MENGHADAPI YAHUDI ATAU ZIONIS?

Perjuangan umat Islam untuk Palestin bukan masalah toleransi antara Muslim dan Yahudi. Tamadun Islam telah mencoretkan bahawa umat Islam pernah hidup secara majmuk dan harmoni bersama pelbagai bangsa termasuklah bangsa Yahudi. Malah di al-Andalus (kini Sepanyol), kaum Yahudi mencapai zaman kegemilangan kebudayaan di bawah pentadbiran umat Islam.

Palestin sekitar awal kurun ke 19, yang didiami oleh 86 peratus Muslim dan 4 peratus Yahudi juga pernah hidup tanpa konflik.

Jelas perjuangan membebaskan Palestin bukan sebuah perjuangan bersikap perkauman terhadap Yahudi. Yang biasa dilabel dunia barat sebagai anti-semitik. Atas sebab itu saya tidak pernah bersetuju dengan slogan-slogan seperti "Moga Allah laknat Yahudi". Kerana Yahudi hanyalah bangsa, yang juga merupakan bangsa para Rasul terdahulu.

Lembaran sejarah perlu diamati kembali untuk memahami permasalahan di sana. Bermula dengan perpindahan kaum Yahudi yang semakin ramai ke bumi Palestin sekitar tahun 1929. Bersama gerombolan yang berpindah itu tentulah puak-puak Zionis.

Merekalah pelampau yang sentiasa menyimpan cita-cita untuk membina negara Yahudi. Dengan apa cara sekalipun berdiri di atas ketidakadilan dan penindasan.

Golongan Zionis yang semakin ramai berpindah ke Palestin mula menampakkan keinginan untuk menjadikan Palestin sebuah negara Yahudi. Tentu sekali ianya melahirkan rasa tidak senang penduduk asal yang akhirnya mencetuskan ketegangan.

Kaum Zionis yang degil ini bukan sahaja berkonflik dengan penduduk asal Palestin. Tetapi turut juga berkonflik dengan penjajah British yang ketika itu menjajah Palestin. Berpunca daripada tindakan British mewujudkan White Paper of 1939. Yang meletakkan had kepada pembelian tanah oleh bangsa Yahudi. Serta had bagi kemasukkan pendatang Yahudi.

Maka pendatang-pendatang Yahudi yang terkemudian boleh kita sebutkan sebagai pendatang haram. Kerana tidak pernah mendapat keizinan baik daripada penjajah mahupun penduduk setempat.

Peristiwa di atas sepatutnya menjadi kesedaran awam, tanpa mengira agama atau latar belakang bangsa. Bahawa sesungguhnya sikap kelompok Zionis yang membelakangkan keadilan tidak mengira siapa. Kezaliman, penindasan dan sikap cari gaduh mereka tidak mengenal samada Muslim atau bukan. Sesiapa yang menghalang matlamat mereka yang membelakangkan keadilan, adalah musuh yang patut ditentang.

PELANGGARAN HAK SEJAK AWAL

Ramai yang masih menyimpan harapan dengan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat membantu menyelesaikan masalah keganasan di Palestin. Ianya agak ironi, apabila mengenangkan bahawa tindakan PBB pada 1947 antara penyumbang tidak langsung kepada penubuhan Israel.

PBB yang bertindak aneh dan jauh dari prinsip keadilan, dengan tekanan daripada puak Zionis telah membuat keputusan. Memberikan 55 peratus Palestin kepada puak Yahudi walaupun jumlah mereka hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan. Dan mempunyai hak milik hanya 7 peratus tanah.

Campurtangan PBB sudah terlebih awal melanggar hak yang begitu diagungkan tamadun barat. Iaitu hak menentukan nasib sendiri (self-determination) bagi bangsa-bangsa yang masih mengalami penjajahan.

Sekiranya ketidakadilan telah wujud sejak awal lagi, maka tidak hairanlah Zionis boleh mengugut untuk terus menyerang sehingga HAMAS diundurkan. HAMAS, kerajaan yang dilantik melalui proses demokrasi. Sebuah lagi idea yang turut diagungkan tamadun barat.

Perlulah semua kembali jelas, bahawa yang rejim Zionis mahukan bukan untuk HAMAS berundur sahaja. Itu adalah idea di permukaan. Tetapi jauh ke dasar yang mereka mahukan adalah penguasaan penuh keatas Palestin. Meragut sesuatu yang bukan hak mereka. Kebiasaan bertindak zalim hanya akan menjadikan kezaliman sebuah tabiat.

Kezaliman yang sudah menjadi tabiat puak Zionis. Maka sekiranya mereka sudah mendapat keseluruhan Palestin pun, sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa seterusnya.