Sunday, August 16, 2009

Qaumi Tarana




Pada 14 Ogos yang lepas,Persatuan Pelajar-Pelajar Pakistan Massey University (MUPSA) telah mengadakan pertandingan kuiz bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Pakistan pada hari yang sama.Pertandingan ini disertai oleh bukan sahaja pelajar-pelajar Pakistan,malahan juga dari negara-negara yang lain.Saya juga menyertai pertandingan ini atas ajakan housemate saya,saudara Tariq Mahmood.Acara ini bermula pada jam 2 petang.

Terdapat sebanyak 9 kumpulan yang mengambil bahagian di dalam acara ini.Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Pakistan, "Qaumi Tarana" dan diikuti oleh lagu kebangsaan New Zealand, "God Defend New Zealand".Saudara Ibrar Ahmed merupakan pengacara majlis kemudiannya menerangkan sedikit sebanyak tentang peraturan dan format pertandingan sebelum kuiz bermula.Di dalam kuiz ini terdapat lima kategori iaitu Sejarah Dunia,Geografi,Sukan,Pemikiran Kritis,dan Pakistan.



Selama setengah jam diperuntukkan untuk menjawab kuiz ini.Sementara menantikan keputusan,para peserta dijamu dengan makanan Pakistan dan diperdengarkan dengan lagu-lagu patriotik Pakistan.Beberapa lama kemudian,saudara Ibrar kemudiannya terus mengumumkan keputusan.Alhamdulillah,kumpulan saya memenangi pertandingan kuiz ini selaku johan dengan keputusan sebanyak 33/40.



Program ini tamat sekitar pukul 4 petang.Dapat saya rumuskan di sini bahawa acara yang julung-julung kali diadakan oleh MUPSA ini berjaya di dalam objektifnya,iaitu memperkenalkan Pakistan di kalangan warga Massey University dan yang paling penting merapatkan hubungan sesama kita,lebih-lebih lagi sesama saudara seIslam.